• Sperma Lemah, Kesuburan Singapura Rendah 7 Tahun

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+


    SINGAPURA kini berdepan dengan masalah kualiti sperma lelaki yang tidak kuat selain kurang aktiviti seks dan perkahwinan sekali gus menyaksikan kejatuhan kelahiran bayi di negara itu.

    Perkara amat memalukan itu didedahkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo pada Khamis yang mengakui bahawa kadar kesuburan keseluruhan (TFR) susut kepada 1.16 pada tahun 2017.

    Ini sekali gus menjadikannya angka kedua terendah sejak mencecah paras 1.15 pada tahun 2010. Teo mendedahkan demikian semasa menyentuh tentang strategi penduduk pada perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen.

    Statistik TFR – yang mengukur purata anak bagi setiap wanita – disediakan sejak tahun 1960. Paras 1.16 terus menunjukkan trend yang merosot sejak tahun 2014 (1.25), 2015 (1.24) dan 2016 (1.20).

    Beliau juga menjelaskan TFR rendah itu: “Dari 1950-an hingga ke 1960-an, kita meraih ‘jumlah kelahiran bayi yang ramai’, mencecah paras amat tinggi. Kohort ini berusia dalam lingkungan pertengahan 50-an hingga 60-an tahun.

    “Apabila ramai baby boomers ini berkahwin dan mula mempunyai anak, kita menyaksikan pula kesan susulan pada lewat tahun 1980-an dan 1990-an, di mana kelahiran juga mencecah paras yang agak tinggi.”

    “Hari ini, ramai baby boomers susulan berusia sekitar 20 hingga 30 tahun. Mereka termasuk dalam denominator yang digunakan untuk hitung TFR. Namun mereka hanya baru memasuki usia boleh melahirkan anak,” katanya.

    Berbanding kohort lebih awal, lebih ramai daripada mereka yang belum berkahwin atau mempunyai anak. Apabila mereka sudah berkahwin atau menimang cahaya mata, kami boleh menjangkakan numerator, iaitu jumlah kelahiran, akan terus meningkat. TFR kemudian mungkin akan naik juga.”

    Beliau akur bahawa Anggota Parlimen (AP) mungkin berfikir sama ada TFR Singapura akan terus merosot, atau sama ada penurunan itu mungkin disebabkan pasangan suami isteri yang belum mahu melangkah ke dunia keibubapaan, seperti mana yang berlaku semasa krisis kewangan global pada tahun 2009.

    Teo berkata: “Kami tidak boleh memberi kata putus. Tinjauan kami menunjukkan sejumlah besar rakyat muda Singapura mahu berkahwin dan menimang cahaya mata. Bagaimanapun… ini bukanlah satu-satunya matlamat kehidupan mereka.

    “Rakyat muda Singapura hari ini memiliki banyak peluang memburu aspirasi mereka. Mereka juga mungkin memilih untuk memiliki rumah sendiri atau mengukuhkan kedudukan kewangan mereka sebelum mendirikan rumah tangga. Faktor-faktor ini menyumbang kepada rakyat Singapura yang berkahwin dan mempunyai anak pada kemudian hari.”

    Bagaimanapun, pasangan yang berkahwin lewat mungkin mengalami masalah melahirkan anak,” tegasnya. “Dari segi perubatan, peluang seseorang itu hamil, semakin berkurangan selepas mencecah usia 35 tahun.

    Meskipun begitu, beliau tidak menjangkakan perubahan besar terhadap dasar imigrasi Singapura.

    “Jika bilangan penduduk sedia ada Singapura dapat menggantikannya dengan TFR pada paras 2.1, kami dapat meraih bilangan penduduk rakyat yang stabil di masa hadapan, tanpa sebarang imigrasi. Tetapi, pada TFR sedia ada dan jika tidak berlaku imigrasi sama sekali, bilangan penduduk rakyat tempatan akan menguncup dalam jangka panjang,” katanya.

    “Pada kadar sedia ada imigrasi, kami hampir mencapai kesan serupa seperti penggantian penuh TFR. Oleh itu, kami tidak menjangkakan perubahan besar terhadap dasar imigrasi kami buat masa ini. Dalam kata lain, dengan kadar sederhana imigrasi, kami boleh mencegah bilangan penduduk rakyat tempatan daripada terus menguncup dalam jangka panjang.”

    Cik Teo juga memberi jaminan di Parlimen bahawa Singapura menerima jumlah pendatang baru yang “diseimbangkan dengan penuh berhemah” setiap tahun. Tahun lalu, sebanyak 22,076 Kerakyatan Singapura diberikan, iaitu hampir sama berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, dedahnya.

    “Kami juga meluluskan jumlah stabil Penduduk Tetap (PR) setiap tahun, di mana ramai dalam kalangan mereka kemudian menjadi rakyat Singapura. Bilangan penduduk PR masih sebahagian besarnya stabil pada sekitar 530,000, dengan 31,849 PR dihulurkan tahun lalu.”

    PENINGKATAN LANJUT

    Cik Teo juga membentangkan tentang bagaimana pemerintah “boleh membantu mereka yang bersedia mendirikan rumah tangga”, sambil merujuk kepada sokongan yang diberikan melalui Pakej Perkahwinan & Keibubapaan sejak tahun 2001 sambil mendedahkan beberapa inisiatif akan datang.

    Bagi membantu pasangan mendapatkan rumah dengan lebih pantas, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan sebanyak 1,100 flat dengan masa menunggu lebih singkat (sekitar 2.5 tahun) pada tahun 2018, dengan 2,000 lagi flat bakal dilancarkan pada tahun 2019. Pemerintah juga memberikan lebih kelonggaran bagi proses geran dan pinjaman, dedah Cik Teo.

    Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) juga akan terus meningkatkan jumlah tempat kosong bagi jagaan bayi dan jagaan kanak-kanak yang dimampui dan bermutu, dengan 40,000 tempat kosong baru prasekolah sehari dalam masa lima tahun akan datang, katanya.

    Dalam percubaan merangsang tempat kerja yang lebih mesra keluarga, sektor awam sedang merintis cuti jagaan bayi tanpa gaji selama empat minggu, bagi kedua-dua ibu bapa, untuk menguji kesesuaian umum bagi cuti ibu bapa yang lebih panjang. Pemerintah juga akan meminta lebih ramai majikan menyokong Piawai Tiga Pihak bagi Jadual Kerja Fleksibel (FWA).

    Geran Kerja-Kehidupan juga akan dilanjutkan dan ditingkatkan bagi menyediakan lebih banyak sokongan kepada syarikat-syarikat perusahaan bagi menggalak pendakapan FWA, khususnya perkongsian kerja. Ini akan menjadikannya lebih mudah bagi pekerja melaksanakan amalan yang meningkatkan usaha mesra keluarga.

    Piawai Tiga Pihak yang baru turut diperkenalkan bagi menggalak majikan menyediakan cuti penjagaan bagi keadaan yang tidak dijangkakan seperti kondisi sejak lahir atau penyakit yang berlaku secara mendadak. Bagi mendorong pendakapan secara sukarela oleh majikan, cuti sedemikian ditawarkan tanpa gaji dan dihadkan kepada empat minggu, kata Cik Teo.

    – CNA

    Subjects:

  • No Comment to " Sperma Lemah, Kesuburan Singapura Rendah 7 Tahun "