• Siti Nurhaliza Lancar Apps Sendiri

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    DALAM keadaan yang masih berpantang selepas melahirkan bayi, nampaknya penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza tidak tunggu lama untuk memberi kejutan baharu kepada jutaan peminatnya.

    Ibu berusia 39 tahun itu baru-baru sempat melancarkan aplikasi peribadi sendiri yang dinamakan Siti Nurhaliza Official App, sekali gus menjadikan dirinya artis tempatan pertama yang memiliki aplikasi sendiri di telefon pintar.

    Penyanyi kelahiran Pahang itu yang baru sahaja menimang cahaya mata perempuan pada Isnin minggu lalu dilaporkan melancarkan aplikasi itu semalam dan perkara itu dikongsi menerusi status di Instagramnya.

    “Assalamualaikum semua. Hari ini saya melancarkan Siti Nurhaliza Official App bagi menggabungkan semua platform rasmi media sosial saya dan juga gambar serta video eksklusif saya di dalam satu aplikasi sahaja.

    “Dalam tempoh 24 jam bermula sekarang, ada exclusive content untuk anda di aplikasi saya ini,” umumnya di Instagram (IG).

    Difahamkan, aplikasi unik itu menggabungkan semua platform rasmi media sosial miliknya termasuk gambar dan video eksklusif.

    Tambah menarik, para peminat yang memuat turun aplikasi ini akan mendapat 3,000 ‘stars‘ percuma untuk pembelian bahan kandungan eksklusif.

    Namun perkongsian secara eksklusif dari Siti ini tidak boleh diguna pakai oleh mana-mana pihak sewenang-wenangnya di mana setiap kandunganya mempunyai ‘watermark’ logo Selklik .

    “Sebagai peringatan, bahan-bahan yang terdapat di dalam aplikasi ini mempunyai watermark logo Selklik dan juga alamat emel pengguna (anda).

    “Jika ada di antara anda yang berkongsi content dari Siti Nurhaliza Official App, pihak Selklik akan mengambil tindakan terhadap anda dan ini menyalahi peraturan yang ditetapkan,” kongsinya lagi.

    Haa, kalau anda nak tahu sendiri apa kandungan menarik yang ada lagi dalam aplikasi ini, kenalah dapatkan sekarang dengan muat turun di Google Playstore dan Apple App Store. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Siti Nurhaliza Lancar Apps Sendiri "