• Sistem Pendidikan Perlu Cerminkan Falsafah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Sunday, 4 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin dilakukan terhadap sistem pendidikan negara perlu dibincang secara menyeluruh sebelum dilaksanakan dan perlu memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan serta apa yang digariskan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

    Sehubungan itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata penglibatan kesatuan dan badan bukan kerajaan berkaitan sektor pendidikan perlu ditingkatkan dalam setiap perbincangan bagi memastikan semua isu berkaitan bidang itu dapat diselesaikan.

    “(Jika falsafah dan dasar tidak menjadi panduan) ini yang menyebabkan guru tertekan, murid dibelenggu dilema dan keliru nak ikut yang mana satu,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata cadangan daripada masyarakat juga perlu dipertimbangkan untuk memperbaiki sebarang kelemahan dalam sektor pendidikan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata perkara asas dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak perlu diubah mana-mana menteri pendidikan ketika menerajui kementerian itu.
    Ahmad Zahid menekankan bahawa kepelbagaian kaum bukan alasan untuk menjadikan sektor penting itu ‘cacamarba’ hanya untuk melayani kehendak masyarakat yang pelbagai, selain tidak mahu soal pendidikan menjadi bahan uji kaji sehingga membawa kesan tidak baik kepada pelajar dan negara.

    Senada dengan saranan timbalan perdana menteri, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata Dasar Pendidikan Negara tidak harus sering berubah kerana ia akan memberi implikasi berbeza dan tanggapan kurang baik terhadap kementerian serta kesan kepada masyarakat akan datang.

    “Tetapi mungkin menteri berbeza akan memberi penekanan berbeza untuk memantapkan pelaksanaan dasar sedia ada, namun sebaik-baiknya sesuatu dasar bagi tempoh ditetapkan itu dihadam dengan jitu,” katanya.

    Presiden Guru Muda 1Malaysia Rahmat Sholihin Mokhtar berpendapat saranan Ahmad Zahid itu adalah penting supaya sistem pendidikan negara tidak semata-mata dipengaruhi menteri yang memegang portfolio pendidikan.

    Beliau menegaskan mana-mana dasar sedia ada perlu diteruskan meskipun terdapat pertukaran menteri pendidikan pada masa akan datang. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sistem Pendidikan Perlu Cerminkan Falsafah "