• SIP: Caruman Hampir RM20juta Sejak Dilancarkan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Caruman Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan sebagai jaringan keselamatan sosial bagi membantu individu yang kehilangan pekerjaan atau menganggur telah mencapai kutipan sebanyak RM19,922,407 hingga 15 Februari lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, jumlah itu adalah caruman 240,077 majikan berdaftar sejak skim berkenaan dilancarkan pada 1 Jan lepas.

    Katanya, menerusi skim yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu, walaupun belum sampai tempoh matang, untuk bulan pertama sahaja bayaran faedah sebanyak RM802,800 telah diluluskan kepada pemohon yang layak.

    "Saya ingin menjelaskan sebenarnya pembayaran atau tarikh matang untuk dapatkan bayaran atau faedah pertama ialah pada 1 Jan 2019, akan tetapi atas keprihatinan kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukkan RM122 juta untuk pastikan sistem ini amat berkesan.

    "Dengan peruntukan begitu banyak setakat ini hingga 28 Feb lepas walaupun belum sampai tempoh matang (daripada) pemohon seramai 2,471, pembayaran diluluskan (kepada) 1,336 (pemohon) dan dibayar sebanyak RM600 sebulan untuk tiga bulan," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang mahu tahu faedah diperoleh pencarum SIP. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " SIP: Caruman Hampir RM20juta Sejak Dilancarkan "