• Singapura lulus akta sekat komunikasi dalam media sosial

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+
    Parlimen Singapura meluluskan akta baharu yang membolehkannya pihak berkuasa negara itu menyekat sementara komunikasi dan menghalang orang ramai daripada menghantar filem atau gambar dan menyampaikan mesej secara teks atau audio dalam situasi genting.

    Akta itu dikenali Undang-undang Ketenteraman Awam dan Keselamatan (Kuasa-kuasa Khas) 2018 atau POSSP dibaca kali kedua hari ini.

    Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo berkata kuasa untuk menangani impak teknologi moden merupakan satu daripada peruntukan baharu yang diperkenalkan di bawah Akta POSSP.

    Menurutnya, pada 60 tahun yang lalu, apabila Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) digubah, terdapat hanya telefon melalui talian.

    “Hari ini, kita mempunyai telefon pintar, internet, saluran berita TV 24 jam dan dron. Semua orang yang memiliki telefon pintar boleh menyiarkan, dan kebanyakan mereka berbuat demikian dengan sasaran penonton yang lebih ramai daripada saluran media biasa.

    “Walaupun teknologi moden sedemikian merupakan satu rahmat tetapi ia juga boleh menimbulkan masalah bagi polis,” kata beliau.

    Teo menarik perhatian bahawa contoh yang jelas ialah apabila ia boleh menjejaskan operasi Polis semasa sesuatu operasi taktikal yang sensitif seperti operasi menyelamatkan tebusan.

    “Polis mempunyai unsur kejutan terhadap pelaku jenayah supaya mereka tidak mula mengapa-apakan mangsa sementara menunggu tindak balas polis.

    “Pelan terbaik polis boleh digagalkan oleh tweet atau perkongsian dalam media sosial. Tetapi undang-undang sedai ada, seperti Akta Ketenteraman Awam, mungkin tidak membenarkan Polis untuk menangani risiko sedemikian dengan berkesan,” kata beliau.

    Akta POSSP memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Polis Singapura untuk mengeluarkan Perintah Sekat Komunikasi (CSO).

    CSO memutuskan hubungan yang tertumpu kepada lokasi khusus dan terbatas dalam tempoh masa tertentu. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Singapura lulus akta sekat komunikasi dalam media sosial "