• Seni Silat Angkat Sabah Di Persada Sukan Antarabangsa

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 18 March 2018
    A- A+


    SANDAKAN – Sukan seni silat menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan yang mampu mengangkat nama negeri ini di persada sukan kebangsaan dan antarabangsa.

    Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata atas sebab tersebut, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama dan mengalu-alukan aktiviti sukan itu.

    Katanya ini kerana pada dasarnya sukan seni silat bukan sahaja memberi erti yang besar dan bermanfaat khususnya dalam memastikan sukan ini terus diminati dan dipelopori oleh semua lapisan masyarakat, malah ia juga membantu memartabatkan sukan ini kepada satu taraf yang sepatutnya.

    “Pada hemat saya, adalah amat wajar jika bermula hari ini setiap individu dan keluarga di Sabah membuka minda dan sikap untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan positif seperti memilih untuk terlibat aktif dalam mana-mana aktiviti seni bela diri yang berdaftar dan sah.

    “Sudah tentu saya amat berbangga jika rakyat Sabah dikenali di seluruh Malaysia sebagai rakyat yang mempunyai disiplin yang tinggi hasil aktiviti seni bela diri. Saya yakin imej dan trend seperti ini pastinya memberi impak yang besar dan positif kepada kestabilan dan kemakmuran negeri Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Seni Bela Diri Sabah di sini, hari ini, yang mengumpulkan 1,500 pesilat daripada 50 persatuan di negeri ini.

    Hadir sama, Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah, Datuk Iliyas Ibrahim dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Masiung Banah.

    Musa berkata adalah amat rugi jika para belia di Sabah tidak mengambil peluang yang ada untuk melibatkan diri dalam aktiviti seni bela diri.

    Menurutnya walau apa pun gerak tangkas yang cuba ditonjolkan dalam setiap aliran bela diri, tentunya matlamat utama adalah untuk membentuk pemikiran dan personaliti yang mulia, berdisiplin dan berjiwa murni.

    Justeru, beliau mengajak rakyat di negeri ini untuk bersatu dan berusaha mengikis persepsi negatif terhadap seni bela diri.

    Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan Skim Keusahawanan Belia Sabah dan Skim Kecemerlangan Belia Dalam Sukan kepada 500 penerima.

    Penerima individu mendapat geran RM2,000 dan berkumpulan RM5,000.

    Di bawah kedua-dua skim itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta pada tahun lepas yang membabitkan 3,500 penerima dan RM5 juta pada tahun ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Seni Silat Angkat Sabah Di Persada Sukan Antarabangsa "