• 'Sengaja Gemuk' Elak Perkhidmatan Tentera

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 28 March 2018
    A- A+

    SEOUL: Seorang lelaki di Korea Selatan didapati bersalah oleh mahkamah kerana sengaja menggemukkan dirinya semata-mata mahu mengelak menjalani latihan perkhidmatan tentera diwajibkan untuk semua rakyat negara itu.

    Lelaki berusia 21 tahun itu berjaya menaikkan berat badannya sebanyak 29.5 kilogram (kg) dalam tempoh enam bulan selepas tamat sekolah tinggi.

    Berat badannya meningkat daripada 84.8 kg pada Februari 2016 kepada lebih 113 apabila dia menjalani ujian kesihatan kedua pada Julai 2016.

    Rancangan lelaki itu berjaya apabila dia didapati terlalu gemuk untuk menjalani latihan ketenteraan dan diberi tugas di perkhidmatan awam lain.

    Bagaimanapun, polis kemudian mendapati lelaki itu sengaja menggemukkan diri dan dia ditahan sebelum didakwa di mahkamah.

    Korea Times melaporkan, pada Ahad lalu lelaki itu didapati bersalah namun dia bernasib baik apabila Mahkamah Daerah Cheongju hanya menjatuhkan hukuman ditangguhkan.

    Mereka yang melarikan diri, sengaja mencederakan diri atau kata lain menipu bagi mengelak menjalani latihan selama dua tahun itu boleh dihukum penjara lima tahun.

    Menurut undang-undang Korea Selatan, semua lelaki berusia 18 hingga 35 tahun perlu menjalani latihan berkenaan dan hanya pemenang pingat Sukan Olimpik atau pingat emas Sukan Asia diberi pengecualian.

    Setiap tahun sekurang-kurangnya 400 lelaki dihukum penjara kerana enggan menjalani latihan itu.

    Latihan itu diperkenalkan pada 1957, empat tahun selepas Perang Korea tamat, supaya rakyat bersedia untuk berperang sekiranya tentera Korea Utara menceroboh negara itu.-Daily Mail

    Subjects:

  • No Comment to " 'Sengaja Gemuk' Elak Perkhidmatan Tentera "