• Semua Pendaki Gunung Kinabalu Selamat Turun

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+


    KUNDASANG - Semua pendaki Gunung Kinabalu termasuk kakitangan yang bertugas selamat turun dari Laban Rata Resthouse awal pagi ini susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda Ranau pukul 9.06 malam tadi.

    Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 4.30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di resthouse itu di Panalaban pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

    Panalaban adalah lokasi persinggahan yang mana pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

    "Ekoran gempa bumi tersebut, pihak APM bersama agensi penyelamat lain bekerjasama untuk membantu usaha menyelamat pendaki serta kakitangan bertugas turun dari Laban Rata menuju ke tempat selamat di Timpohon Gate (titik permulaan pendakian)," kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Tindakan membawa turun pendaki bermula sejak kira-kira 9.40 malam yang dipimpin oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar). - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Semua Pendaki Gunung Kinabalu Selamat Turun "