• Semangat Berpasukan Pisahkan Malaysia Dan Mongolia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mencatat keputusan mengejutkan dalam usaha menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa sebarang kemenangan selepas terikat 2-2 menentang negara berstatus semi-pro, Mongolia pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A semalam.

    Legenda bola sepak negara, Khalid Ali menyifatkan kegagalan sebahagian besar pemain skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu bermain sebagai sebuah pasukan menjadi punca Malaysia terus kempunan meraih kemenangan sejak kali terakhir menewaskan Kemboja 3-2 dalam saingan Piala AFF Suzuki 2016.

    Kata Khalid, Mongolia bukan sebuah negara bola sepak yang mantap, namun semangat jitu serta komitmen 100 peratus terhadap perlawanan itu menjadi garis memisahkan mereka dan skuad negara yang dilihat tidak menjalankan tanggungjawab apabila diberi kepercayaan menyarung jersi kebangsaan pada perlawanan itu.

    “Seingat saya Mongolia ini terkenal dengan sukan gusti dan bola keranjang sahaja. Mereka bukan negara yang menjadi rujukan apabila bercakap soal bola sepak. Corak permainan mereka semalam tidak memberangsangkan tetapi mereka mempunyai hati untuk bermain demi bendera di dada.

    Pemain kita pula, sebahagian besarnya seperti tidak ingin bermain. Bukan saya sahaja, malah seluruh penonton dapat lihat mereka mudah hilang bola, gagal membuat hantaran tepat dan gerakan serangan yang tidak teratur pada perlawanan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu, Malaysia mendahului menerusi hasil jaringan sendiri kapten Mongolia Turbat Daginaa minit ke-31 sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Enkhbileg Purevdorj pada minit ke-42,

    Malaysia mendapat gol kedua menerusi rembatan pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid (65′) , sebelum Gangkhuyag Ser-Od-Yanjiv menjadikan kedudukan 2-2 enam minit kemudian sekali gus memberikan keceriaan kepada pasukannya yang kini menghuni ranking ke-189 dunia.

    Khalid yang merupakan antara watak penting kejayaan skuad negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 turut mempersoalkan keputusan Cheng Hoe membariskan hanya sebahagian kecil pemain muda yang memiliki potensi besar dalam kesebelasan utamanya semalam.

    Menurut beliau, pemain-pemain Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang melakar sejarah pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China awal tahun ini wajar diberikan lebih peluang beraksi menggalas cabaran negara berbanding pemain senior yang semakin ketandusan idea kreatif.

    “Jujur saya cakap hanya tiga pemain iaitu nombor tujuh (Muhammad Akhyar Abdul Rashid), sepuluh (Muhammad Nazmi Faiz Mansor) dan nombor lima (Adam Nor Azlin) yang bermain dengan baik semalam. Kita dapat lihat impak positif yang dibawa Akhyar ke dalam pasukan sejurus beliau dibawa masuk.

    “Kemahiran beliau (Akhyar) menggelecek bola serta larian deras menembusi benteng pertahanan lawan untuk membuka ruang kepada penyerang adalah sesuatu yang amat diperlukan pasukan. Kita perlu lebih ramai pemain muda dengan idea dan kemampuan seperti beliau di dalam pasukan,” tambah beliau.

    Justeru, beliau berharap pada aksi seterusnya Cheng Hoe dapat merehatkan beberapa pemain senior untuk memberi laluan buat pemain muda berpotensi negara menimba pengalaman beraksi di peringkat tertinggi dalam membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap di masa hadapan.

    “Pemain-pemain senior sudah tepu. Mereka sudah hampir sampai ke penghujung karier. Mereka tidak memiliki kriteria untuk diturunkan pada perlawananan antarabangsa.

    Ini adalah masa untuk kita membentuk pasukan baharu yang dibarisi pemain-pemain baharu. Bukan bermaksud perlu menyingkirkan semua pemain senior, pemain-pemain muda ini masih perlu dibimbing dan mereka (pemain senior) harus memainkan peranan mereka di luar padang,” katanya.

    Harimau Malaya masih berpeluang menamatkan episod suram ini apabila bertandang ke Beirut bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan Selasa depan diikuti aksi persahabatan antarabangsa Kelas A menentang Nepal di SNBJ pada 1 April ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Semangat Berpasukan Pisahkan Malaysia Dan Mongolia "