• Semak maklumat undi seminggu sebelum PRU

    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Pemilih berdaftar diminta membuat semakan maklumat pengundian selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung tempat mengundi.

    Ketua Program Pengurusan Strategik Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khadijah Ishak berkata, antara masalah yang dijangka berlaku termasuk perubahan tempat mengundi khususnya kepada pemilih berdaftar yang bertukar alamat.

    Beliau berkata, jika usul persempadanan semula bahagian pilihan raya dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat serta diguna pakai untuk PRU14, terdapat kemungkinan berlaku perubahan tempat mengundi kepada sebahagian pemilih berdaftar.

    "Contohnya, sebelum ini undi di sekolah A, tetapi sebab ada persempadanan baru jika diguna pakai, mungkin bertukar ke sekolah B atau sekolah C. Jadi dia tak boleh jangka (PRU) lima tahun lepas dia di sekolah A, tidak semestinya PRU kali ini mengundi di tempat sama.

    "Sebab itu semakan perlu dibuat dan menjadi tanggungjawab kepada pengundi itu sendiri bagi memudahkan semasa hari pengundian," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu 'Nine11' terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Semak maklumat undi seminggu sebelum PRU "