• Sejuta Rumah Mampu Milik

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran pembinaan satu juta rumah mampu milik telah dapat dipenuhi dengan 139,338 rumah atau 12.5 peratus daripada sasaran te­lah siap sepenuhnya.

    Perdana Menteri memberitahu, sebanyak 311,281 rumah atau 28 peratus pula berada dalam pelbagai peringkat pembinaan sementara bakinya berada pada peringkat perancangan dan prakelulusan.

    “Program perumahan mampu milik ini boleh dilihat kepelbagai­an yang kita khususkan kepada dua kelompok masyarakat iaitu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40),” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan kunjungan ke Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr. Alies Anor Abdul; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd., Datuk Ahmad Azizi Ali

    Berhubung projek Projek Perumahan Awam 1 Malaysia (PPA1M), Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, daripada sasaran pembinaan keseluruhannya seba­nyak 200,000 unit, sebanyak 141,774 unit telah diluluskan setakat ini.

    “Jadi, dalam masa tidak lama lagi semua 200,000 unit dapat disiapkan dan ini termasuk 10,000 unit yang dikhaskan untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

    Sementara itu, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengenakan syarat tambahan kepada pemaju perumahan di Selangor yang boleh menyebabkan harga rumah meningkat tinggi sekali gus membebankan rakyat, jika berjaya menawan semula negeri tersebut.

    Beliau berkata, beliau mendengar banyak rungutan pihak pemaju dan rakyat berhubung pelbagai syarat yang dikenakan Kerajaan PKR Selangor yang menyebabkan rumah terpaksa dijual dengan harga tinggi.

    “(Oleh itu) Kita tidak bercadang untuk menambah syarat yang akan membawa kepada kos lebih tinggi dan insya-Allah jika kita diberikan kepercayaan untuk memimpin di negeri Selangor, kita akan kaji semula syarat tambahan untuk kerajaan negeri bukan sahaja PR1MA tetapi juga pemaju perumahan.

    “Semuanya (sebelum ini) telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap syarat tambahan yang dikenakan Kerajaan Negeri Selangor yang mereka kata menambahkan kos pembinaannya dan akhirnya rakyat terpaksa menanggung bebannya,” katanya.

    Menyentuh mengenai situasi di Pulau Pinang pula, Najib berkata, kerajaan negeri tadbiran DAP itu mengenakan syarat pelik iaitu pembeli rumah perlu mendaftar sebagai pengundi di negeri tersebut terlebih dahulu.

    “Di kawasan tanah besar, harga rumah adalah RM250,000 ke bawah dan di kawasan pulau adalah RM300,000 ke bawah. Ini menunjukkan bahawa PR1MA telah dapat menjual rumah jauh lebih rendah daripada harga pasaran supaya kita dapat memberi peluang kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sejuta Rumah Mampu Milik "