• Sejam Terperangkap

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+

    Suami isteri di Taman Chin Lee, Bintulu, berdepan detik cemas selepas anak perempuan mereka berusia setahun enam bulan terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) milik keluarga itu tengah hari, semalam.

    Dalam kejadian 1.16 petang itu, ibu bapa kanak-kanak berkenaan dipercayai tidak menyedari mangsa hampir sejam terperangkap dalam kenderaan terbabit, dengan keadaan agak lemah kerana sesak nafas dan kepanasan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit ketika dihubungi berkata, kejadian itu hanya disedari oleh ahli keluarganya apabila mendapati kanak-kanak berkenaan tidak berada dalam rumah dan segera mencarinya di sekitar rumah.

    "Kita tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu, tanpa disedari ibu bapanya, bermain dalam kenderaan berkenaan sebelum terkunci. Difahamkan, ibu bapanya terkejut selepas mendapati anak perempuan mereka berada dalam kenderaan itu lalu cuba mengeluarkannya tetapi gagal," katanya.

    Bimbang dengan keadaan anak mereka itu, pasangan terbabit segera menghubungi bomba bagi meminta bantuan mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu.

    "Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati kanak-kanak terbabit sedang menangis dipercayai akibat sesak nafas dan kepanasan," katanya.

    Beliau berkata, anggotanya menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kenderaan terbabit sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 30 minit, seterusnya diberikan rawatan kecemasan.

    "Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan sejurus dikeluarkan, kanak-kanak berkenaan kemudiannya diserahkan kepada ibu bapanya," katanya.-myMetro
  • No Comment to " Sejam Terperangkap "