• Sejak Lahir Lagi Setiap Rakyat Ditanggung Subsidi – Najib

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung subsidi bagi seorang murid sekolah rendah dari tahun satu hingga enam kira-kira RM48,000 seorang, manakala sekolah menengah pula RM44,500 seorang pelajar.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain itu, kerajaan juga membiayai subsidi kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kos pengajian setiap penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

    Katanya, bukan setakat itu sahaja, kerajaan sebenarnya turut menanggung subsidi bagi setiap rakyatnya pada hari pertama kelahiran sehingga pembelajaran di peringkat tadika.

    “Pendidikan sekolah rendah dan menengah percuma dengan kerajaan membelanjakan pada purata RM8,000 bagi setiap murid dan RM8,900 setiap pelajar. Cuma kalau ada yang ibu bapa kena bayar, itu adalah sumbang yang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) minta. Pendidikan tak kena bayar, free.

    “Bila kita kata free (percuma), maknanya ada punca lain yang membiayai pendidikan kita. Inilah dasar kerajaan. Kita cari (sumber) dari punca lain, kita berikan kepada rakyat melalui pembiayaan pendidikan percuma di sekolah rendah,” katanya dalam sesi Bajet 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), hari ini.

    Najib berkata, sejak mengambil alih kerajaan pada April 2009, beliau memberi perhatian kepada semua golongan dan dalam banyak bajet, Bajet 2018 adalah yang bersifat inklusif.

    Menurutnya, beliau hendak memastikan tidak ada golongan yang tidak mendapat sesuatu daripada Bajet 2018 terutama gelajar.

    “Secara peribadi saya rasa seronok kalau dapat turun ke kampus bersama dengan pelajar kerana ini mengingatkan saya juga pelajar. Bila saya kenang semula zaman saya pelajar, walaupun orang kata saya anak Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri selepas itu, tidak ada sesuatu yang lebih daripada yang lain.

    “Sebab Allahyarham ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) nak saya menilai bahawa kejayaan dalam bidang pendidikan itulah pelaburan yang paling besar yang dapat diberikan kepada saya sebagai anak kepada Perdana Menteri,” katanya.

    Najib turut menyatakan usaha kerajaan untuk membantu rakyat dengan memperkenalkan ADAM50, iaitu anak yang dilahirkan pada 1 Januari tahun ini akan mendapat bantuan sebanyak RM200.

    Mengenai yuran pengajian tinggi, beliau berkata, 90 peratus daripada yuran pengajian di IPTA ditanggung oleh kerajaan, yang mana sepatutnya seorang penuntut perlu membayar RM1,400 kos yuran untuk satu semesta.

    “Dari kita lahir sampai masuk universiti berapa yang kerajaan tanggung untuk kita? Anda bertuah kerana Malaysia ada sistem antara yang terbaik di dunia. Cuma kadang-kadang kita tidak menghargainya.

    “Itulah masalah kita. Tapi ada orang tertentu cuba nak pusing kepala kita. Makhluk-makhluk perosak ni ada (sebar) dengan berita palsu, kadang-kadang angka-angka yang tak tahu datang dari mana,” katanya.

    Beliau mahu rakyat melihat ke hadapan akan hasrat dan visinya hendak menjadikan Malaysia ini sebuah negara yang berjaya.

    “Saya mahu wujudkan satu sistem dalam negara kita, di mana setiap indvidu boleh mencapai kejayaan dan boleh merealisasikan maksimum potensi dia sebagai individu.

    “Yang membezakan ialah sama ada keinginan ataupun tidak, dia ada motivasi atau tidak, dia ada aspirasi atau tidak dan dia boleh terjemahkan dalam betuk kesungguhan atau tidak.

    “Selagi dia ada kesungguhan untuk belajar dan untuk berjaya, saya nak setiap rakyat Malaysia diberi peluang seluas-luasnya. Inilah intipati kepada kita, kepada dasar pendidikan kita dan dasar kerajaan yang pernah saya sebut sebagai pendemokrasian pendidikan,” ujarnya.

    Mengulas mengenai pendemokrasian pendidikan, Najib berkata, ia bererti akses kepada pendidikan yang berkualiti dan akses itu mestilah terbuka seluas-luasnya supaya tidak kira seseorang itu anak orang kaya, pekebun kecil, cikgu atau anak anggota polis.

    Katanya, asalkan mereka ada keinginan, kerajaan akan berusaha untuk menyediakan satu sistem peluang dan dasar yang membolehkan rakyat mencapai potensi maksima sebagai seorang individu. – theRakyat

    Subjects:

  • No Comment to " Sejak Lahir Lagi Setiap Rakyat Ditanggung Subsidi – Najib "