• ‘Segalanya Wanita’ Pada MAHA 2018

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+


    SERDANG – Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang bakal berlangsung pada 22 Nov hingga 2 Dis ini akan menjadi platform untuk menonjolkan usahawan wanita dan peranan golongan tersebut dalam industri agromakanan negara.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata acara dua tahun sekali itu masih mengekalkan tema “Makanan Kita, Masa Depan Kita.”

    “Namun ia akan menjadi lain dari yang lain kerana membawakan konsep wanita dengan slogan ‘Segalanya Wanita. Ia kedengaran biasa, tetapi bagi saya ia adalah titik tolak bagi melonjakkan lagi pengiktirafan negara, rakyat dan kerajaan bahawa wanita mesti diperkasakan.”

    Ahmad Shabery berkata wanita memainkan peranan penting dalam sejarah pertanian negara dan MAHA 2018 memperuntukkan 50 peratus daripada 1,500 gerai jualan pada MAHA 2018 kepada usahawan wanita.

    Dewan A di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), yang berkeluasan 40,000 kaki persegi pula diperuntuk bagi aktiviti, pameran dan jualan produk yang segenap dimensinya berkaitan kehidupan wanita.

    “MAHA kali ini juga telah memilih Dewan A, dewan paling besar di MAEPS sebagai medan penceritaan mengenai kesengsaraan, sumbangan dan kejayaan yang telah dicapai wanita.

    “Ia akan turut menonjolkan beberapa ikon usahawan wanita sebagai inspirasi,” katanya dalam majlis prapelancaran MAHA 2018 di Pavilion Sarawak, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini semalam.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Nogeh Gumbek serta Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Ismail Bakar.

    Ahmad Shabery berkata kementeriannya menyasarkan menarik lebih 3.7 juta pengunjung pada MAHA 2018 dengan nilai jualan dianggarkan RM500 juta yang anggap realistik memandnagkan MAHA 2016 mencatatkan jualan dan perjanjian jualan kira-kira RM400 juta.

    Pada majlis yang sama Ahmad Shabery turut memperkenalkan 11 penaja dan rakan strategik MAHA 2018 antara ialah Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Agrobank, Persatuan Nelayan Kebangsaan dan Sime Darby Plantation.

    Tempahan gerai jualan kini dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi Sekretariat MAHA 2018 di talian 012-2787936 atau emel : maha.sales.team@gmail.com atau layari laman Facebook MAHA 2018:Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show 2018 (@MAHA2018my). – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Segalanya Wanita’ Pada MAHA 2018 "