• Sebauh Bakal Jadi Daerah Moden, Progresif

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+

    BINTULU: Kerajaan negeri sedang dalam peringkat perancangan untuk membawa lebih banyak pembangunan di Sebauh supaya dapat menjadi daerah yang lebih moden dan progresif.

    Memetik laporan The Borneo Post, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, daerah tersebut berpotensi untuk pembangunan kerana lokasinya yang strategik.

    "Kerajaan negeri menyedari Sebauh berpotensi untuk menikmati pembangunan kerana berdekatan dengan kawasan lain seperti Kapit, Belaga, Baram, dan Miri. Oleh itu kerajaan merancang untuk membawa lebih banyak pembangunan untuk mengubah kawasan tersebut.

    "Dengan membawa perubahan kepada Sebauh juga akan sejajar dengan kenaikannya kepada status daerah pada 1 Ogos 2015," katanya.

    Tambahnya, penduduk Sebauh yang dulu bergantung kepada perkhidmatan feri akan menikmati kemudahan yang lebih besar apabila projek jambatan Batang Kemena selesai, yang secara langsung dikaitkan dengan Lebuhraya Pan Borneo.

    "Akan ada banyak spin-off untuk pembangunan sosioekonomi yang dibawa oleh projek jambatan Batang Kemena untuk memberi manfaat kepada rakyat di Sebauh," katanya.

    Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan meningkatkan jalan pesisir dari Lundu, ke Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau, Pusa, Kabong, Daro, Matu, Kuala Balingian, dan Jepak di Bintulu.

    Julaihi berkata jalan raya sepanjang 42km itu juga akan menghubungkan Jepak dan Sebauh.

    Jelasnya lagi, jalan pesisir akan memberi manfaat kepada petani dan nelayan di kawasan tersebut, membolehkan mereka dengan mudah mengangkut hasil mereka untuk dijual. – Sarawakiana
  • No Comment to " Sebauh Bakal Jadi Daerah Moden, Progresif "