• SEB akan kaji potensi pembangunan tenaga di Kalimantan Utara dan Myanmar

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+
    KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Sarawak Energy Bhd (SEB), yang berhasrat mahu merealisasikan Grid Tenaga Asean, akan membuat kajian potensi penjualan tenaga kepada Sabah, Brunei termasuk pembangunan tenaga di Kalimantan Utara dan Myanmar, selain memberi tumpuan kepada eksport tenaga ke Kalimantan Barat yang telah dilaksanakan sejak 2016.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sharbini Suhaili, berkata dalam beberapa tahun lagi, SEB akan memberi tumpuan kepada eksport tenaga ke Kalimantan Barat, Sabah dan Brunei sebelum memulakan sebarang projek di Kalimantan Utara dan Myanmar.

    "SEB sedang meningkatkan eksport elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia dan dijangka akan menjual tenaga ke Brunei dan Sabah di bawah projek grid kuasa trans-Borneo," katanya dalam satu taklimat kepada media di sini hari ini.

    Katanya, SEB sedang menyediakan perjanjian penukaran tenaga dengan Brunei dan Sabah bagi mengorak langkah pengeksportan tenaga.

    Dalam laporan-laporan media, Brunei dikatakan telah bersetuju untuk membeli 100 megawatt (MW) tenaga daripada SEB, dengan opsyen pembelian tambahan sebanyak 50MW.

    Sekarang ini, eksport SEB adalah sebanyak 150MW hingga 200MW ke Kalimantan Barat.

    Sarbini berkata SEB memiliki gambaran yang menyeluruh mengenai keseimbangan pembangunan tenaga bagi memacu transformasi sosio-ekonomi, keselamatan tenaga, ketahanan dan kemampuan dengan menawarkan tarif elektrik yang terendah di rantau ini melalui pembangunan hidro.

    Sarawak akan menghasilkan 7,115MW tenaga menjelang 2025 melalui pembangunan kuasa hidroelektrik sebagai sumber utama tenaga untuk negeri berkenaan, sambil menambah bahawa sekarang ini, ia hanya mengeluarkan sebanyak 5,49MW.

    "Utiliti pada masa hadapan akan didigitalkan sepenuhnya, ini akan melibatkan transformasi organisasi dan perniagaan, ia juga akan membuka peluang-peluang digital yang lebih besar dalam setiap rantaian nilai," katanya.

    SEB, yang merupakan sebuah syarikat pembangunan utiliti dan tenaga bersepadu, dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak.

    Ia menjana kuasa melalui hidro dan terma (arang batu serta gas) dan memberi perkhidmatan kepada 2.6 juta orang meliputi 650.000 pengguna domestik, komersial, perindustrian dan pelanggan eksport melalui satu rangkaian pengagihan dan transmisi yang luas. SEB mempunyai tenaga kerja dalam pelbagai disiplin seramai 5,000 orang.

    Syarikat itu menawarkan tarif yang paling rendah di Malaysia dan antara yang termurah Asia Tenggara kerana sumber tenaganya datang daripada hidro. -- BERNAMA
  • No Comment to " SEB akan kaji potensi pembangunan tenaga di Kalimantan Utara dan Myanmar "