• Saya tidak akan pertaruhkan masa depan negara - Najib

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+


    KUBANG PASU: Datuk Seri Najib Razak menyeru rakyat supaya tidak mempertaruhkan masa depan negara akibat terperangkap dengan nostalgia dan sentimen terhadap pemimpin terdahulu.

    Perdana Menteri berkata, apabila sudah tiba masanya, rakyat perlu membuat keputusan bijak dengan memilih parti yang terbukti kukuh dan mampu membawa kemajuan kepada negara.

    Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, rakyat perlu membuat keputusan yang bijak dan tepat, tidak semata-mata terbawa-bawa dengan emosi ataupun nostalgia.

    Presiden UMNO itu juga berkata, untuk membangunkan sebuah negara bangsa apatah lagi sebuah peradaban memerlukan tempoh yang lama.

    "Untuk memastikan kesinambungan pembangunan, kita perlukan tempoh panjang sehingga lima tahun dan bukannya sehari dua,

    "Sebagai sebuah kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional, saya sebagai Perdana Menteri tidak akan mengheret rakyat kepada satu keadaan di mana saya sanggup mempertaruhkan masa depan negara semata-mata mahu taburkan gula-gula ataupun ada setengah orang kata memberi dedak.

    "Saya mempunyai tanggungjawab yang besar dan menyedari bahawa saya memikul harapan 30 juta rakyat Malaysia yang mengharapkan masa depan negara dapat dijulang ke tahap yang lebih tinggi.

    "Atas sebab itu. saya membuat perancangan jangka panjang seperti Transformasi Nasional 50 (TN50) dengan jangka waktu 30 tahun akan datang namun saya tidak lupa, sehari dua ini kita nak cukupkan keperluan seharian.

    "Kita kena pastikan keperluan asas, dapur berasap, hidangan makanan cukup, kediaman kita sempurna, anak dapat bersekolah dan lanjutkan pelajaran, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan, pendapatan semakin meningkat, keselamatan terjamin maka masa depan akan cemerlang dan adanya masa depan yang diimpikan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dewan Wawasan, di sini malam ini.

    Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharum.

    Najib berkata, semua yang diperkatakan adalah perkara yang difikirkannya, bukan seperti pihak lain yang tidak istiqamah dalam pendirian.

    Katanya, seorang pemimpin mesti istiqamah dan konsisten bukannya dahulu cakap lain tetapi perbuatannya kini, lain pula.

    "Saya masih ingat, di sini (Dewan Wawasan) individu terbabit meminta kepada jangan lupa kepada UMNO dan BN yang membela Melayu dan kaum lain. Bukan ayat itu sahaja, saya sendiri pernah dengar sekiranya seseorang itu sudah tidak menjadi pemimpin, kita wajib menyokong pemimpin baharu sebab masa kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita.

    "Saya sebenarnya tidak kuat, saya jadi Perdana Menteri dan ada kekuatan kerana UMNO mengangkat saya dan BN menyokong saya. Kalau UMNO dan BN tidak angkat dan mempertahankan saya... saya tidak jadi kuat.

    "Malah sayalah yang mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri dengan keadaan ribuan orang berarak dan saya ketika itu Ketua Pemuda UMNO yang tampil mempertahankannya.

    "Inilah prinsip setia menepati walak dan konsisten yang dipegang saya. Semua ini menjadikan kita dihormati dan disegani," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Saya tidak akan pertaruhkan masa depan negara - Najib "