• Saya menyanyi bukan nak menang anugerah - Sajat

    Published: Friday, 16 March 2018
    A- A+


    BUKIT JALIL: Usahawan produk kecantikan, Nur Sajat, sudah bersedia untuk dicemuh oleh netizen apabila muncul dengan single solo berjudul Makhluk Penggoda.

    Mengaku sudah lali dikecam dan dikritik, beliau juga berkata dirinya tidak lagi terkesan dan kata-kata negatif golongan pembenci.

    Katanya, beliau sedar dirinya tidak mempunyai bakat dalam seni suara, tetapi tindakannya merakamkan lagu adalah sekadar hiburan, bukannya untuk meraih anugerah.

    "Saya nak fikir positif saja dan tidak kisah apa yang netizen hendak katakan. Nak diikutkan, sejak dulu lagi saya dikecam dan dikritik. Jadi, buat apa saya nak fikir fasal benda ini kerana ia tidak memberikan apa-apa kesan pun pada diri ini.

    "Saya juga tahu tahap keupayaan saya. Jadi, kalau lagu nyanyian saya ini nanti dapat tanda 'dislike' sekalipun, saya tidak kisah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan di sini hari ini.

    Turut dilancarkan ialah programnya berjudul Nur Sajat Rated Xtra yang disiarkan menerusi portal Tonton.

    Menurut beliau, sepatutnya lagu berkenaan dikeluarkan selepas single Abang Nak Tegur nyanyian Datuk Seri Aliff Syukri, namun berikutan masalah tidak dapat dielakkan, baru sekarang ia menemui penggemar muzik.

    Sajat juga tidak melihat tindakannya merakamkan lagu sebagai meniru langkah diambil oleh Aliff dan seorang lagi usahawan terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida.

    Tegasnya, beliau menceburi bidang seni sebelum dikenali sebagai usahawan lagi, dengan menjadi penari di bawah syarikat Pak Ngah Production.

    "Saya ada perniagaan sendiri, jadi apa yang saya buat ini sekadar hiburan, bukan terbabit secara serius. Kalau orang tak suka, tidak mengapa kerana apa yang saya miliki kini sudah cukup untuk membuatkan saya rasa bersyukur.

    "Saya anggap semua ini sebagai rezeki dalam bidang seni. Selepas terbabit dalam bidang lakonan menerusi filem Ophilia, kini saya ada single dan program sendiri di Tonton.

    "Lagu nyanyian saya ini sekadar penyeri industri muzik. Menerusi program Nur Sajat Rated Xtra pula, saya hanya ingin berkongsi pencapaian dalam perniagaan dengan penonton," katanya.

    Bercakap mengenai lagu yang dicipta oleh vokalis Drama Band, Aepul Roza, dan lirik hasil tulisan Iman Imran itu, katanya, ia bukanlah bercerita perihal dirinya, sebaliknya berkisar pada seorang wanita yang bukan mudah untuk dicintai.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Saya menyanyi bukan nak menang anugerah - Sajat "