• Sarawak masih memegang hak perairan 12 batu nautika

    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+


    MIRI: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg hari ini mencabar mana-mana pihak yang mempertikaikan hak Sarawak ke atas persempadanan perairannya untuk mengambil tindakan jika tuntutan Sarawak adalah salah.

    Abang Johari menegaskan tuntutan Sarawak ke atas persempadanan perairannya dan sumber-sumbernya hingga menjadi salah satu faktor yang mendorong kepada penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), adalah wajar.

    Beliau berkata meskipun Parlimen pernah meminda persempadanan perairan di bawah bidang Kerajaan Negeri daripada 12 kepada tiga batu nautika, tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak pernah meluluskannya.

    "Langkah terakhir iaitu mendapatkan kelulusan daripada DUN Sarawak tidak pernah berlaku."

    "Ini bermakna Kerajaan Negeri kekal mempunyai hak ke atas persempadanan perairan sehingga 12 batu nautika. Tiada siapa yang boleh mengubahnya," ujar Abang Johari sambil menambah, di bawah Perlembagaan Malaysia bagi Senarai Negeri, sebarang perubahan sempadan tidak dibenarkan tanpa persetujuan Kerajaan Negeri (DUN) .

    "Mereka boleh saman saya jika saya salah. Tetapi saya mempunyai perlembagaan yang dituruti," katanya sambil menambahkan jika beliau betul maka rakyat Sarawak dan komuniti perniagaan di negeri ini, harus menyokong beliau.

    "Malah saya juga sudah menghantar pasukan perundangan saya ke London dan kita mempunyai dokumen-dokumen yang menyokong dan membuktikan perkara ini (tuntutan Sarawak)," katanya lagi.

    Beliau memberitahu pihak-pihak yang mempersendakan tuntutan Sarawak itu, perlu melakukan 'homework' atau kajian terlebih dahulu sebelum bersuara.

    Abang Johari berkata demikian semasa berucap merasmikan Dialog Perniagaan 'Menghubungkan Komuniti Perniagaan Miri' dengan Visi Ketua Menteri anjuran Dewan Perdagangan dan Industri Sarawak (SCCI) di sini tadi.

     Hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin; Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar, Dr Abdul Rahman Junaidi; wakil-wakil rakyat serta Presiden SCCI, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg dan naib presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa SCCI Wilayah Miri, Andy Chia Chu Fatt.-Utusan Borneo
  • No Comment to " Sarawak masih memegang hak perairan 12 batu nautika "