• Sarawak Dapat Kuasa Penuh Selia Aspek Hiliran, Huluan Industri Minyak & Gas

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    Impian rakyat Sarawak untuk melihat penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan melibatkan industri minyak dan gas di negeri ini akhirnya menjadi kenyataan.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh terhadap aspek hiliran dan huluan industri tersebut menjelang Julai tahun ini.

    Sehubungan itu menurutnya, selepas tempoh itu, semua syarikat berkaitan industri minyak dan gas di Sarawak perlu mendapatkan lesen, permit dan kelulusan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak atau Ordinan Pengedaran Gas.

    "Penurunan kuasa ini selaras dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengembalikan kuasa kepada Sarawak yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang terhakis secara tidak sengaja sejak beberapa tahun lalu," katanya seperti dilaporkan Sarawakvoice.com.

    Pada masa sama Abang Johari berkata, penguatkuasaan undang-undang negeri itu tidak akan menjejaskan kepentingan dan pelaaburan Petronas, perbadanan minyak nasional serta syarikat lain yang terbabit dalam industri berkenaan.

    "Sama ada huluan atau hiliran, namun aktiviti mereka hendaklah selaras dengan undang-undang dan peraturan Sarawak," ujarnya.

    Beliau menambah, Sarawak juga akan meneroka sumber minyak dan gas asli seperti yang diperuntukkan dalam Senarai Negeri dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

    "Pembentukan Petros dan pelaksanaan hak perlembagaan bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan sebagaimana diperuntukkan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan hasil rundingan penurunan kuasa antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Dapat Kuasa Penuh Selia Aspek Hiliran, Huluan Industri Minyak & Gas "