• Sarawak Bakal Miliki 3 Jalan Utama Dalam Tempoh 10 Tahun Akan Datang

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing menjangkakan dalam tempoh 10 tahun akan datang Sarawak bakal mempunyai tiga jalan utama.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, jalan-jalan berkenaan adalah Lebuh Raya Pan Borneo, Lebuh Raya Pesisir Pantai dan bercadang untuk membina jalan utama kedua menghubungkan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sibu.

    Menurut beliau, ia melibatkan anggaran kos RM11 bilion dan pada ketika ini kementeriannya masih dalam proses rundingan mengenai pembinaan cadangan jalan utama kedua dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan setiausaha kewangan negeri.

    “Kami (dalam rundingan itu) bersetuju cadangan jalan utama (kedua ini) dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    “Kosnya ialah kira-kira RM11 bilion. Kita akan dapatkan peruntukan itu, tetapi bukan daripada kerajaan persekutuan, maknanya ia projek dibiayai kerajaan negeri,” katanya.

    Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berkata, kerajaan negeri merancang menyediakan pengalaman pemanduan yang lancar kepada pengguna jalan raya dari Sematan hingga Miri apabila Lebuh Raya Pesisir Pantai siap termasuk sekurang-kurangnya lima jambatan dibina dalam tempoh sama.

    Jelas beliau jalan utama kedua tersebut akan mengurangkan tempoh perjalanan dari Sibu ke Kuching sebanyak dua setengah jam, jika menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo ia mengambil masa lima hingga enam jam.

    Oleh yang demikian, dengan adanya tiga jalan utama ini kelak akan dapat memastikan Sarawak terus berkembang maju pada masa akan datang .-Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Bakal Miliki 3 Jalan Utama Dalam Tempoh 10 Tahun Akan Datang "