• Sarang dadah digempur, abang tinggalkan adik

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+


    KAJANG: Seorang lelaki bertindak meninggalkan adiknya sebelum memecut motosikal untuk melarikan diri selepas sarang menagih dadah berhampiran landasan Stesen KTM Komuter di Jalan Reko, di sini, diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

    Dua beradik itu yang berusia lewat 20-an pergi bersama-sama ke lokasi terbabit untuk melepaskan gian sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa yang membuat serbuan di kawasan berkenaan.

    Lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran anggota penguat kuasa terus memecut motosikalnya dan meninggalkan adiknya berusia yang masih dalam keadaan khayal.

    Dalam serbuan sama, seorang lelaki berusia 36 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan didapati terbuang air besar di dalam seluar dipercayai akibat terlalu khayal.

    Mereka antara 15 individu, termasuk dua wanita yang ditahan sepasukan anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Hulu Langat dalam serbuan bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

    Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat, Muhamad Ramlan Syed Ahamed, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 20 individu yang berada di lokasi berkenaan ketika serbuan.

    "Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan, kami menahan 15 individu, berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun selepas didapati positif pelbagai jenis dadah.

    "Ketika serbuan dijalankan, kebanyakkannya masih dalam keadaan khayal dan tidak sempat melarikan diri kerana kawasan berkenaan sudah dikepung," katanya, hari ini.

    Muhammad Ramlan berkata, kawasan itu kerap diserbu AADK, namun masih menjadi lokasi pilihan penagih dadah tegar sebagai 'sarang' melepaskan gian mereka.

    "Kami pernah memusnahkan sarang menagih dadah di kawasan itu, termasuk pondok kecil tahun lalu. Tapi mereka tidak serik dengan menjadikan kawasan semak berhampiran pula untuk melepaskan gian.

    "Kali terakhir kami membuat serbuan di kawasan itu bulan lalu dan seramai 16 individu yang berusia antara 27 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi itu," katanya.

    Katanya, pihak AADK Hulu Langat akan melakukan serbuan secara konsisten, terutama membabitkan 'lokasi panas' yang dijadikan sebagai sarang menagih dadah di daerah itu.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sarang dadah digempur, abang tinggalkan adik "