• Saingan KR1M 2.0, peniaga runcit berdepan tekanan turunkan harga

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Rangkaian perniagaan di negara ini bakal berdepan tekanan untuk menurunkan harga barangan supaya kekal berdaya saing dengan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, pengguna bukan sahaja boleh menikmati pelbagai pilihan barangan keperluan harian, malah KR1M 2.0 turut mewujudkan persaingan positif dalam sektor peruncitan.

    Beliau turut mengakui sedang mengambil sedikit masa untuk menjalinkan kerjasama dengan kedai runcit bebas kerana perlu mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk kos logistik.

    "Sudah tentu, apabila ia menjadi 'loss-leader product' (barangan yang dijual di bawah harga pasaran), dengan bekalan yang mencukupi dan permintaan yang tinggi, sudah tentu persaingan dengan kedai-kedai yang lain juga akan menurunkan harga.

    "Bukan sahaja secara langsung, malah secara tidak langsung juga, akan memberikan rasa yang selesa kepada rakyat secara keseluruhan apabila kita memberikan persaingan yang agak positif di kalangan mereka yang melakukan perniagaan seperti ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai hala tuju kerajaan berhubung mekanisme KR1M 2.0 dalam memastikan harga barang keperluan dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

    Selain itu, kerajaan juga akan memastikan lokasi kedai runcit bebas ini berada dalam lingkungan 15 hingga 20 kilometer daripada pasar raya dan serbaneka yang bernaung di bawah KR1M 2.0 bagi menjamin jualan bekalan keperluan harian pada harga berpatutan. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Saingan KR1M 2.0, peniaga runcit berdepan tekanan turunkan harga "