• RUU Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya Dibentang Rabu Depan

    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu.

    Demikian diumumkan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sewaktu bermulanya sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor tersebut telah diserahkan kepada semua Ahli Parlimen namun ia tidak boleh disiarkan sehingga Rabu depan.

    "Saya ingin memaklumkan bahawa Laporan Kajian Semula Persempadanan mengenai Syor-syor yang dicadangkan bagi Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam Negeri-negeri Tanah Melayu kali Ke-6 tahun 2018 (ST27/2018) dan Draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya), (Negeri-negeri Tanah Melayu 2018), (ST28/2018) telah diletakkan di atas meja ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

    "Saya ingin mengingatkan bahawa kesemua dokumen tersebut tidak boleh disiarkan (embargo) sehingga ia dibentangkan pada hari Rabu 28 Mac 2018," katanya.

    Bagaimanapun, belum dapat disahkan sama ada Perdana Menteri atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bakal membentangkan RUU tersebut.

    Pada 9 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Urusan kajian semula tersebut selesai dijalankan sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 113(10) Perlembagaan Persekutuan.

    Kajian semula persempadanan itu tergendala lebih setahun ekoran dicabar di mahkamah melibatkan 15 kes yang difailkan pelbagai pihak.

    Permohonan bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan urusan kajian semula itu bagaimanapun ditolak mahkamah. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " RUU Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya Dibentang Rabu Depan "