• RUU Berita Palsu: Kerajaan Bertemu Penyedia Platform Media Sosial

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil penyedia platform media sosial dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) mengenai berita palsu dan fitnah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pertemuan itu diadakan sebagai salah satu langkah untuk mendapat lebih banyak pandangan dan input daripada pemain-pemain utama bidang media baru.

    Ujar beliau, pertemuan itu melibatkan Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube, dan Twitter di Parlimen baru-baru ini.

    “Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada para penyedia platform media sosial. Turut hadir dalam pertemuan ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Pertemuan ini penting bagi memastikan RUU yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek. Tindakan ini juga sebagai bukti bahawa kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jelas Azalina, asas utama RUU yang sedang dirangka ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    RUU itu juga katanya bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa berita palsu.

    “Saya percaya RUU ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular serta membarah di negara ini,” katanya. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " RUU Berita Palsu: Kerajaan Bertemu Penyedia Platform Media Sosial "