• Runtuhan Akibat Gempa Di Laluan Pendakian Gunung Kinabalu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+

    KOTA KINABALU: Beberapa runtuhan dikesan di sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 skala Richter pada jam 9.06 malam tadi.

    Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais, berkata runtuhan agak besar dikesan di Kilometer (KM) 1.5 dan tidak dapat dilalui.

    "Pemantauan di sepanjang laluan ke puncak dari Panalaban ke Pondok Timpohon mendapati berlaku runtuhan di KM1.5 dan semua pendaki akan menggunakan laluan alternatif.

    "Kakitangan TTS akan mengawal kawasan itu bagi memastikan tiada pendaki melalui laluan asal.

    "Runtuhan kecil juga berlaku di Carson Fall tetapi masih boleh dilalui," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

    Jamili berkata, runtuhan turut kedengaran di bahagian menghadap Kampung Mesilau, Kundasang dan di belakang Tunku Abdul Rahman Peak tetapi runtuhan dipercayai jatuh ke arah Low's Gully.

    "Beberapa gegaran susulan turut dirasai di Gunung Kinabalu dengan yang terbaharu berukuran 3.2 pada jam 10.53 malam tadi," katanya.

    Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan kepada pelancong atau kerosakan kepada bangunan penginapan di gunung.

    Beliau berkata, semua pendaki, malim gunung, porter, kakitangan Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, kontraktor dan kakitangan TTS seramai 209 orang dibawa turun malam tadi dan menginap di Taman Kinabalu.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Runtuhan Akibat Gempa Di Laluan Pendakian Gunung Kinabalu "