• RM174.8 Juta Untuk Laksana Skim Pembesaran Kampung Di Sarawak

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+

    SADONG JAYA: Kerajaan negeri meluluskan sebanyak RM174.8 juta bagi melaksanakan 35 Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) di seluruh Sarawak kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya kerajaan komited dalam usaha memastikan rakyat di negeri ini dapat memiliki rumah yang selesa dan tempat kediaman teratur.

    “Inilah usaha kerajaan negeri dalam memberi peluang kepada masyarakat di kampung untuk mendapatkan lot kediaman yang lebih teratur kerana kampung yang sedia ada sudah padat,” katanya.

    Jelasnya, peruntukan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu, sebanyak RM41.36 juta diperuntukkan kepada bahagian Samarahan bagi melaksanakan lima SPK.

    “Tumpuan kita banyak kepada SPK dan di Samarahan ini sendiri kerajaan telah meluluskan untuk kita melaksanakan lima SPK dengan peruntukan RM41.36,” tambahnya.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli itu menegaskan bahawa pembesaran kampung sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri dan untuk itu keutamaan perkara ini akan diberikan dalam kajian separuh penggal RMK11 ini.

    “Kita menyedari masih banyak lagi keperluan yang diperlukan oleh masyarakat terutama di luar bandar.

    “Justeru, teruskanlah memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada agar setiap perancangan yang telah dilaksanakan dapat berjalan dengan jayanya,” ujarnya.

    Sementara itu, mengenai projek SPK Kampung Sadong Jaya, Awang Tengah berkata, ia menelan kos RM8.71 juta yang bakal menyediakan 290 lot kediaman dan mempunyai beberapa komponen rizab kerajaan dan industri desa.

    “Selain itu, kita juga akan menyediakan kemudahan lain seperti masjid atau surau di sini,” katanya. – Sarawakiana

  • No Comment to " RM174.8 Juta Untuk Laksana Skim Pembesaran Kampung Di Sarawak "