• RM17 Juta Atasi Masalah Bekalan Air Di Pugu

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+

    LUNDU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata untuk menarik kedatangan pengunjung ke Pantai Pugu yang terletak dalam kawasan Tanjong Datu, kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan internet perlu disediakan.

    Oleh kerana itu, katanya, peruntukan sebanyak RM17 juta telah diluluskan untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan tersebut.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, pantai tersebut berpotensi untuk dijadikan sebagai satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini dan ianya bakal dibangunkan.

    “Pantai Pugu bukan sahaja memiliki kawasan pantai dan laut yang cantik malah sesuai untuk penganjuran aktiviti seperti pertandingan wau.

    “Peruntukan ini akan digunakan bagi meningkatkan bekalan elektrik untuk menguatkan tekanan air ke kawasan Pugu ini.

    “Kita tidak boleh bergantung kepada peruntukan RM100 juta daripada perdana menteri kerana peruntukan tersebut termasuk untuk Bau,” katanya.

    Tambahnya, Pantai Pugu dan kawasan-kawasan lain dalam Tanjong Datu berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan.

    Menurut Abang Johari lagi, kerajaan telah memanggil konsultan untuk meneliti potensi yang ada di kawasan berkenaan.

    Sementara itu, berhubung masalah bekalan elektrik di Pugu ini, Abang Johari berkata masalah itu akan dibincang kemudian bersama Sarawak Energy Berhad (SEB).

    Beliau turut meminta Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melihat kemudahan asas yang boleh dibangunkan di pantai ini.

    “Jika kawasan Pugu ini adalah di bawah tanah kerajaan negeri maka SEDC boleh membangunkan fasiliti asas di kawasan ini.

    “Apa yang boleh kita buat ialah sediakan tapak perkhemahan seperti di Australia yang menggunakan khemah bergerak lengkap dengan bekalan elektrik dan air untuk disewakan kepada pengunjung,” katanya.

    Terdahulu, Pantai Pugu terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari pekan Lundu dan terletak berdekatan Pantai Pandan serta Pantai Siar. - Sarawakiana


  • No Comment to " RM17 Juta Atasi Masalah Bekalan Air Di Pugu "