• Risda Sarawak Terima RM20.7j Tanam Semula Getah

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    SELANGAU (Sarawak) – RISDA Negeri Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM20.7 juta untuk matlamat Tanam Semula Getah ke Getah Semasa seluas 2,000 hektar dan untuk matlamat Tanam Semula Getah ke Getah Berturut seluas 3,564 hektar.

    Jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM158.3 juta bagi program Tanam Semula Getah ke Getah (TSGG) bagi kawasan seluas 54,057 hektar di seluruh negara.

    Timbalan Menteri 1 Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah tersebut itu adalah sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM388.6 juta kepada RISDA di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi program pembangunan di seluruh negara tahun ini.

    “Pejabat Risda Bahagian Sibu telah menerima agihan peruntukan sebanyak RM12 juta di mana sejumlah RM5.36 juta adalah untuk melaksanakan program Tanam Semula Getah ke Getah Semasa seluas 550 hektar dan matlamat Tanam Semula Getah ke Getah Berturut seluas 749 hektar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Depo Pengumpulan Getah dan Buka Tapak Torehan Agropolitan Nanga Sekuau di sini hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap anggota parlimen Selangau, Datuk Joseph Entulu Belaun.

    ​​​​​​​​​​​​​​Mengenai projek Agropolitan, Nanta berkata ia merupakan integrasi program pembangunan yang menyasarkan untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan, taraf hidup dan kualiti penduduk luar bandar di mana pelaksanaannya merangkumi tiga komponen utama iaitu fizikal, ekonomi dan modal insan.

    “Agropolitan Nanga Sekuau merupakan satu daripada model program di bawah komponen ekonomi di mana Risda Plantation Sdn Bhd Bhd merupakan agen pelaksana yang telah dilantik oleh RISDA untuk membangunkannya,” kata beliau.

    Sejumlah 483 penduduk telah menandatangani perjanjian bersama pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) Sarawak untuk menyertai projek Agropolitan Nanga Sekuau yang memfokuskan kepada penanaman getah.

    Nanta berkata pembukaan tapak torehan di Nanga Sekuau itu membuktikan bahawa pokok getah Agropolitan Nanga Sekuau sudah sedia untuk ditoreh dan hasilnya dinikmati oleh para peserta.

    “Penoreh yang akan digunakan akan dipilih di kalangan para peserta yang berminat di mana latihan kemahiran akan diberikan oleh pihak Risda Plantation Sdn Bhd supaya dapat memberi sumber pendapatan tambahan kepada para peserta,”katanya.

    Sementara itu katanya, pusat depo pengumpulan hasil getah Sekuau yang telah dibina dengan kos sebanyak RM40,000 itu akan membolehkan getah skrap yang dituai dapat dikumpulkan dan dijual.

    Keuntungan bersih daripada jualan getah itu akan diserahkan sepenuhnya oleh pihak RISDA kepada pihak PELITA sebagai dividen kepada para peserta Agropolitan Nanga Sekuau. – BERNAMA
  • No Comment to " Risda Sarawak Terima RM20.7j Tanam Semula Getah "