• Remaja Sarawak Digalak Sertai TLDM

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Golongan remaja di negeri ini, digalakkan menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang rancak mengalami pembangunan, ekoran pertambahan kapal baharu dari semasa ke semasa.

    Panglimanya, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin berkata, beliau mendapati sikap rakyat Sarawak cukup unik kerana memiliki tahap kesetiaan dan kepercayaan tinggi semasa berkhidmat.

    Beliau berkata, sikap terpuji itu ditunjukkan oleh veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk TLDM semasa berada dalam perkhidmatan.

    “Saya kagum melihat keunikan masyarakat Sarawak kerana tahap kesetiaan dan kepercayaan dalam kalangan mereka amat tinggi seperti ditunjukkan oleh veteran TLDM.

    “Justeru, saya minta remaja di Sarawak supaya menyertai TLDM dan ATM secara umumnya agar boleh menikmati pengalaman bertugas di atas kapal dan pada masa sama menyumbang perkhidmatan kepada ATM dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) Kepada veteran TLDM dan `Admiral On Deck’ Warga TLDM Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini hari ini.

    Pada majlis itu, Ahmad Kamarulzaman telah menyampaikan anugerah PJM kepada 24 veteran TLDM yang tinggal di negeri ini, diikuti pertemuan dengan warga TLDM menerusi Majlis `Admiral On Deck’ bagi menyampaikan aspirasi pasukan dan mendengar permasalahan dihadapi oleh para pegawai dan anggota. - UTUSAN ONLINE


  • No Comment to " Remaja Sarawak Digalak Sertai TLDM "