• Rayuan BR1M Bulan Depan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+
    CYBERJAYA: Orang ramai yang ditolak permohonan mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh mengemukakan rayuan bermula bulan depan.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan seterusnya.

    "Pemohon yang gagal dalam permohonan boleh membuat rayuan mulai April ini.

    "Ia bagi membolehkan LHDN melakukan proses terhadap rayuan dikemukakan pemohon," katanya kepada media sempena Hari Hasil 2018 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

    Tahun ini, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM6.3 bilion bagi pengagihan kepada kira-kira tujuh juta penerima BR1M di seluruh negara.

    Fasa pertama pengagihan bulan ini bermula Isnin lalu iaitu secara berperingkat untuk tempoh seminggu manakala fasa seterusnya pada Jun serta Ogos.

    Penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima RM1,200, penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 (RM900) manakala penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah (RM450).

    Dalam perkembangan lain, Johari berkata, Malaysia masih menunggu pengenalan sistem cukai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk industri baharu yang akan digunakan di negara ini.

    Katanya, Malaysia menunggu untuk mempelajari mekanisme cukai dikendalikan negara membangun bagi industri baharu seperti syarikat penyedia platform dalam talian dari luar negara merangkumi Uber, Airbnb, Grab, Amazon dan Google.

    "Ketika ini, negara OECD dan negara membangun belum menemui penyelesaian terbaik bagaimana untuk mengenakan cukai kepada industri baharu kerana ia adalah isu yang sangat rumit.

    "Kita sedang belajar daripada mereka dan menunggu mekanisme yang akan mereka ada, kemudian kita bandingkan," katanya.

    Cukai ke atas syarikat berkenaan, katanya, turut berkait dengan undang-undang antarabangsa.

    Justeru, Johari berkata, mekanisme digunakan mesti betul kerana ia adalah isu yang rumit.

    "Ia bukan hanya kaedah mengenakan cukai kepada mereka tetapi juga berkait dengan undang-undang antarabangsa," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rayuan BR1M Bulan Depan "