• Rangkaian 4G Pertama Di Bulan

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+


    BERLIN - JERMAN. Bulan yang merupakan satelit tunggal semula jadi bumi akan mendapat rangkaian mudah alih pertamanya pada tahun depan selepas syarikat Vodafone di Jerman dan Nokia di Finland merancang untuk membawa liputan Evolusi Jangka Panjang (LTE) ke angkasa lepas dengan memasang rangkaian 4G.

    Kelmarin, rancangan itu turut diumumkan pengeluar kereta Audi yang memaklumkan mereka akan bekerjasama untuk menyokong misi tersebut selepas hampir setengah abad angkasawan pertama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) menjejakkan kaki di permukaan bulan untuk pertama kali dalam sejarah manusia.

    Menurut syarikat telekomunikasi terbabit, mereka akan turut bekerjasama dengan saintis PT, sebuah syarikat penerokaan angkasa berpusat di Berlin sebagai persediaan untuk menghantar peralatan ke bulan.

    Isyarat 4G itu juga akan dapat menghantar video streaming berdefinisi tinggi dari bulan ke pusat kemudahan kawalan misi di Berlin.

    Vodafone memberitahu, ia telah melantik Nokia sebagai rakan teknologinya untuk membangunkan rangkaian gred angkasa terdiri daripada peranti kecil yang beratnya kurang daripada sekilogram.

    "Projek ini melibatkan pendekatan sangat inovatif terhadap pembangunan infrastruktur rangkaian mudah alih," kata Ketua Pegawai Eksekutif Vodafone, Hannes Ametsreiter.

    Rangkaian tersebut membolehkan kenderaan jelajah bulan Audi berkomunikasi dengan stesen pangkalan terletak di Modul Pendaratan Autonomi dan Navigasi (Alina) yang merupakan kapal angkasa dibina ahli saintifik PTS untuk mendaratkan kenderaan robotik di bulan.

    - Press TV

    Subjects:

  • No Comment to " Rangkaian 4G Pertama Di Bulan "