• Rakyat Sarawak Digesa Guna Teknologi Jana Pendapatan - Dr Sim

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+
    Foto FB Dr Sim
    KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian menggesa rakyat Sarawak agar menggunakan teknologi sebagai cara menjana pendapatan melalui keusahawanan.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, sebagai contoh pengangkutan perkhidmatan e-hailing Grab yang boleh menjana pendapatan.

    Menurutnya, ramai yang menyatakan perniagaan kini dalam keadaan tidak baik dan tiada pekerjaan.

    “Ini berlaku kerana anda sentiasa melihat kepada cara yang konvensional. Jika kita terus melihat kepada cara konvensional banyak kerja akan lupus terutama di bawah revolusi Industri 4.0.

    “Maka itu kita perlu melihat teknologi terkini untuk dijadikan sebagai keusahawanan termasuk perkhidmatan Grab,” katanya.

    Sementara itu,beliau melahirkan rasa gembira kerana Grab memilih iCOM Square sebagai satu lagi venue untuk perhentian kereta Grab kedua mereka di bandar raya ini.

    Dr Sim memberitahu, iCOM bukan sahaja menjadi hab digital bagi Kuching tetapi mempunyai banyak premis makanan dan amat sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta.

    “Menyelesaikan masalah tempat letak kereta kini bukan dengan cara membina lebih banyak tempat letak kereta tetapi menggunakan perkhidmatan seperti Grab ini.

    “Ia juga mengubah serta mentransformasikan pengangkutan awam kita selain perancangan bandar lebih baik,” ujarnya.

    Beliau turut menegaskan, adalah lebih jimat bagi setiap individu memilih menggunakan perhidmatan seperti Grab.

    Katanya, mengambil contoh bagi seseorang pemilik kereta mereka dianggarkan perlu membelanjakan kadar RM10,000 setahun untuk pinjaman, penyelenggaraan selain bayaran tempat letak kereta.

    “Dengan perkhidmatan teknologi baharu lain dan Grab ia menjimatkan lagi kos anda kerana tidak perlu membayar tempat letak kereta dan sebagainya,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Rakyat Sarawak Digesa Guna Teknologi Jana Pendapatan - Dr Sim "