• Rakyat Malaysia Yang Ketiga Paling Kurang Bercuti Di Dunia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia merupakan penduduk ketiga yang paling kurang bercuti di dunia dan menduduki tempat kedua di Asia Pasifik, kata Expedia.com.my.

    Portal pelancongan dalam talian itu berkata, berdasarkan kaji selidik tahunan ke-17 mengenai kekurangan percutian, hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang ditinjau mendedahkan bahawa mereka sangat atau agak kurang bercuti.

    Pengurus Besar Expedia Asia Tenggara dan India, Simon Fiquet, berkata alasan utama kekurangan itu ialah masalah bajet atau kemampuan, keinginan untuk mengumpul hari cuti untuk cuti lebih lama dan ketidakupayaan mengelak daripada kerja.

    Menurutnya, kaji selidik itu yang melibatkan 15,000 dewasa yang bekerja sepenuh masa di 30 pasaran mendedahkan yang kekurangan percutian semakin meningkat di seluruh dunia, dengan 53 peratus responden merasakan kurang bercuti pada 2017 berbanding 49 peratus pada 2016.

    Paris adalah salah sebuah destinasi pelancongan utama di dunia.
    "Berbanding Amerika dan Eropah, Asia-Pasifik mengetuai kumpulan itu sebagai rantau paling kurang bercuti, dengan Korea Selatan menerajui senarai, diikuti Perancis dan Malaysia.

    "Malaysia berada dalam senarai lima teratas negara paling kurang bercuti sejak 2015," katanya pada taklimat media mengenai penemuan tinjauan berkenaan di sini, Khamis.

    Fiquet berkata, tinjauan itu juga menunjukkan seorang daripada tiga rakyat Malaysia akan memeriksa e-mel atau mel suara yang berkaitan dengan pekerjaan mereka sekurang-kurangnya sekali sehari semasa bercuti dan ini bermakna mereka tidak dapat menikmati percutian mereka sepenuhnya.

    Menurutnya, rakyat Malaysia menghargai cuti mereka dan menyatakan bahawa masa bercuti yang berkualiti adalah penting untuk produktiviti dan prestasi yang lebih baik, dan merupakan bahagian penting dalam keseimbangan kerja-kehidupan.

    Kaji selidik tersebut mendedahkan 77 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa mereka menjadi lebih santai selepas pulang daripada bercuti, dan peratusan yang tinggi mengatakan mereka akan menjadi lebih produktif dan fokus serta dapat berfikir lebih holistik selepas bercuti.

    Di semua sektor, Fiquet berkata, kaji selidik tersebut mendapati bahawa mereka yang terlibat dalam pemasaran dan industri berkaitan media adalah yang paling kurang bercuti di dunia, diikuti sektor makanan dan minuman serta pertanian.

    Sementara itu, Pakar Psikologi Organisasi dan Jurulatih Peribadi Bertauliah O Psych Sdn Bhd, Hetal Doshi -Suhana Daswani berkata, tekanan tempat kerja dan peribadi semakin menjejaskan kesejahteraan pekerja pada skala global dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengklasifikasikannya sebagai wabak kesihatan pada ke-21 abad.

    "Oleh itu, mengambil masa untuk berehat atau bercuti untuk memulihkan mental, fizikal dan emosi daripada tuntutan kehidupan telah terbukti secara saintifik dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan kesihatan, produktiviti, kreativiti dan hubungan.

    “Tidak hairanlah terdapat majikan yang mengamalkan kesejahteraan sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan mereka bagi meningkatkan pengalaman dan prestasi kakitangan di tempat kerja," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Yang Ketiga Paling Kurang Bercuti Di Dunia "