• Rakyat Malaysia Belanja RM46b Di Luar Negara

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menafikan ekonomi negara dalam keadaan teruk seperti tanggapan ramai kerana rakyat Malaysia mampu ke luar negara dan membelanjakan RM46 bilion pada tahun 2016.

    Johari berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM41 bilion yang dibelanjakan rakyat Malaysia di luar negara pada tahun 2015.

    "Jika ekonomi negara kita berada pada tahap teruk seperti tanggapan ramai, rakyat kita tidak akan berbelanja sebanyak itu di luar negara.

    "Soal persepsi dalam ekonomi memang sukar untuk dijelaskan, namun apa yang penting, ekonomi negara kini mengalami pertumbuhan.

    "Rakyat mungkin tidak menyedarinya, namun antara satu contoh terbaik adalah jumlah peluang pekerjaan yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) berhubung persepsi orang ramai mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

    Sementara itu, menjawab soalan tambahan Khalid Abd Samad (PAN-Shah Alam) mengenai isu berkaitan realiti keadaan ekonomi negara, Johari berkata, masalah yang melanda sektor jualan runcit hingga menyebabkan ada pasar raya menutup operasi bukan sepenuhnya berpunca daripada keadaan ekonomi semasa.

    Katanya, perkembangan sektor e-dagang adalah antara faktor utama mengapa kedai fizikal semakin kurang mendapat perhatian.

    "Transaksi pembelian online pada tahun lalu misalnya direkodkan sebanyak 73 bilion.

    "Jadi, bila ia diuruskan dalam talian, ia pasti tidak akan direkodkan di kedai fizikal.

    "Namun, jumlah 73 bilion transaksi pembelian dalam talian itu adalah satu rekod yang besar dan ia jelas membuktikan rakyat masih mampu berbelanja di sebalik tanggapan ramai kononnya ekonomi meleset," katanya. - BH online

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Belanja RM46b Di Luar Negara "