• Rahsia Hotel: Bila Waktu Terbaik Tempah Bilik?

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Sunday, 4 March 2018
    A- A+


    SATU kajian yang dibuat oleh pakar penjimatan wang, Vouchercloud, berjaya mendedahkan perkiraan masa yang paling tepat untuk anda menempah bilik hotel.

    Kajian yang dijalankan ke atas 30 buah hotel termasuk rangkaian hotel terkenal Travelodge, Premier Inn dan Holiday Inn, menunjukkan penemuan yang boleh menguntungkan anda.

    Secara purata, anda boleh jimat sehingga £3.30 (RM17.84) seminggu jika tempahan dibuat lebih awal.

    Cuba bayangkan jika anda tempah dalam tempoh empat minggu atau sebulan lebih awal. Harganya pasti lebih murah. Malah, anda boleh jimat sehingga 15 peratus atau lebih lagi berbanding harga biasa.

    Kajian ini juga dijalankan di 10 bandar yang mempunyai populasi paling tinggi di United Kingdom pada tiga masa berbeza bagi mencari waktu tempahan yang terbaik.

    Jika anda menginap di Travelodge misalnya, anda perlu membayar £63.64 (RM343.98) untuk satu malam. Jika ditempah lebih awal, anda dapat jimat sebanyak £3.11 (RM16.81) bagi setiap minggu sebelumnya.

    Namun, disebabkan bilik di Holiday Inn lebih mahal, penjimatannya lebih banyak iaitu sekitar £4 (RM21.62) setiap minggu.
    Berbeza pula dengan Premier Inn, dengan bayaran purata sebanyak £69.54 (RM375.87) bagi penginapan satu malam, anda boleh jimat £2.78 (RM15) hingga £3.65 (RM19.7) bagi setiap minggu.

    Selain itu, jika anda mahu menginap di ibu kota negara berkenaan, ia pastinya satu pilihan yang tepat kerana di situ anda akan mendapat penjimatan terbesar.

    Di kawasan bersejarah seperti Edinburgh, Scotland misalnya, setiap tempahan awal akan memberi penjimatan sehingga 4.33 peratus bagi setiap minggu.
    Ini bermakna anda dapat jimat sehingga £18.77 (RM101.45) seminggu jika ditempah lebih awal.

    Begitu juga di London, anda dapat jimat sehingga £5.04 (RM27.24) bagi setiap minggu tempahan awal dibuat.

    Ketua Operasi Vouchercloud, Chris Johnson berkata, bagus jika semua orang tahu bahawa tempahan hotel lebih awal dapat menjimatkan wang.
    "Harga memang akan jadi lebih rendah jika ditempah awal. Jadi, perancangan dan persediaan itu penting," katanya. -ExpressUK

    Subjects:

  • No Comment to " Rahsia Hotel: Bila Waktu Terbaik Tempah Bilik? "