• Racun Rakan Berwajah Seiras Guna Kek Keju

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+

    Seorang wanita Russia didakwa meracun rakan berwajah seirasnya dengan kek keju diisi ubat penenang sebelum mengambil pasport, wang dan barangan lain dalam usaha mencuri identiti mangsa.

    Viktoria Nasyrova, 42, berdepan hukuman penjara 25 tahun atas beberapa tuduhan termasuk cubaan membunuh, mencuri serta menyerang Olga Tsvyk pada 28 Ogos 2016.

    Associated Press memetik Pendakwa Daerah Queens, Richard Brown berkata, Viktoria melawat rumah Olga, 35, membawa kek keju.

    “Mangsa mual sebaik makan kek itu dan memori terakhir sebelum pengsan adalah melihat tertuduh duduk di sebelahnya. Dia ditemui pengsan oleh rakan, keesokannya, dikelilingi pelbagai pil seolah-olah cuba membunuh diri.

    “Kes ini memang pelik, mangsa cuma malang ‘terpilih’ kerana wajahnya seiras tertuduh,” katanya.

    Wanita itu hanya sedar pasport, kad akses tempat kerja, cincin dan wang hilang selepas pulang dari hospital beberapa hari kemudian. Siasatan mengesahkan kek diberi Viktoria mengandungi ubat penenang Phenazepan.

    Menurut NYdailynews, Viktoria sebelum ini dilapor memberi dadah dan membunuh wanita warga emas, Alla Aleksenko, 54, sebelum membakar mayatnya di Russia.

    Dia berjaya lari ke New York selepas menggoda detektif yang mengetuai siasatannya untuk melepaskannya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Racun Rakan Berwajah Seiras Guna Kek Keju "