• PU Sendayan bawa transformasi dalam tiga aspek - Najib

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 16 March 2018
    A- A+
    Foto Bernama
    SEREMBAN, 16 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pangkalan Udara (PU) Sendayan di sini, menempatkan markas dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sebelum ini beroperasi di PU Kuala Lumpur, dengan menyatakan, pangkalan udara yang baharu itu membawa pembangunan dan transformasi dalam tiga aspek.

    Perdana Menteri berkata ketiga-tiga aspek dalam transformasi tersebut adalah pembangunan Sendayan yang sebelum ini merupakan tanah rancangan Felda yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit namun kini berubah wajah menjadi bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.

    Selain itu, katanya, ia turut memberi keselesaan dan kemudahan canggih yang dinikmati warga TUDM serta lokasi PU Kuala Lumpur dibangunkan sebagai Bandar Malaysia yang dibanggakan rakyat.

    "Hari ini Bandar Baru Sendayan sangat hebat dan sudah pun menjadi kenyataan. Bandar ini akan menjadi bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Kelang apatah lagi penghuni di sini akan menikmati kualiti hidup yang lebih baik daripada tinggal di tengah bandar.

    "Permintaan untuk menjadi penghuni dan pemilik di Bandar Baru Sendayan akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Saya ucap tahniah kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mohamad Hasan) kerana dapat merancang pembangunan yang amat berpotensi," katanya ketika merasmikan PU Sendayan di sini, hari ini.

    Selain Mohamad, turut hadir Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Berucap di hadapan kira-kira 4,000 hadirin di Medan Perbarisan, Najib berkata aspek kedua transformasi itu adalah kepada TUDM sendiri yang mana pembinaan PU Sendayan bukanlah hanya janji kosong, sebaliknya telah dibuktikan kerajaan yang membawa transformasi untuk warga TUDM dan ATM keseluruhannya.

    Katanya, PU Kuala Lumpur tetap dikenang sebagai pangkalan udara pertama TUDM yang menyaksikan pelbagai acara bersejarah terutama sekali peringkat permulaan negara mencapai kemerdekaan dan dalam operasi sewaktu memerangi ancaman komunis.

    Beliau berkata berikutan peredaran masa, Kuala Lumpur kini dipenuhi dengan bangunan pencakar langit sehinggakan soal keselamatan penerbangan lebih menjadi keutamaan, sekali gus menjadikan PU di Kuala Lumpur tidak lagi sesuai dan dipindahkan ke sebuah pangkalan yang paling canggih, moden serta selesa di Sendayan.

    "Bagaimana tak selesa, rumah kediaman lebih luas, lebih berkualiti dengan perabot baharu dan saya diberitahu mereka yang berpindah awal dapat TV (televisyen), mesin basuh percuma, peti sejuk, penyaman udara dan sebagainya...ini luar biasa. Tuan-tuan tahu tak berapa perbelanjaan untuk kem ini... RM808 juta tak masuk kos tanah. Menteri besar kata RM250 juta dia nak ingat kepada saya sumbangan daripada kerajaan negeri," katanya.

    Najib berkata aspek ketiga transformasi iatu adalah apabila kerajaan boleh menggunakan PU Kuala Lumpur untuk dibangunkan sebagai Bandar Malaysia seluas 202.3 hektar (500 ekar), sekaligus menjadi pembangunan paling ikonik untuk Malaysia.

    "Pangkalan untuk High Speed Rail (Rel Berkelajuan Tinggi) dari Kuala Lumpur ke Singapura akan menjadi kenyataan dalam beberapa tahun lagi...pembangunan dengan gaya hidup yang paling moden sekali insya-Allah akan jadi kenyataan. Pada masa ini pun dua stesen MRT (Transit Aliran Massa) sedang dibina dan akan siap tidak lama lagi.

    "Cuba bayangkan tengah bandar, 500 ekar sudah tentu akan menjadi satu pembangunan yang akan menjadi pembangunan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Saya sebutkan sebab inilah sumbangan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) kepada negara kita yang banyak tohmah, dimomok dan sebagainya. Untuk menjadikan Bandar Malaysia sebagai satu projek yang boleh menjadi kenyataan," kata perdana menteri.

    Beliau berkata 1MDB membelanjakan RM2.7 bilion memindahkan aset-aset TUDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lapan pangkalan baharu.

    "Janganlah kita dengar apa yang diperkatakan oleh pihak tertentu yang sentiasa nak memperbesarkan cerita-cerita supaya rakyat marah kepada kerajaan sehinggakan yang kebaikan itu tidak disebut. Kalau nak kritik, kritiklah tetapi kebaikan itu mesti disebutkan juga, dan inilah kebaikan yang saya nak beritahu.

    "Kalau tidak ada perancangan ini, tak adalah PU Sendayan. Kalau nak harapkan daripada hasil dana disatukan memanglah kemampuan hasil negara terhad, jadi kita kena tentukan cara yang lebih kreatif.

    "Kalau aset itu berada di tengah bandar dan kita gunakan aset itu untuk meraih pulangan kepada negara kita, tetapi kena bagi masa sebab tidak boleh berlaku sekelip mata sebab sebelum kita bangunkan Bandar Malaysia kita kena bangunkan kem-kem pangkalan-pangkalan baharu seperti Sendayan," katanya.

    Najib berkata esok Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melancarkan dua kem baharu di Subang, Selangor bernilai RM800 juta yang dibiayai oleh 1MDB.

    Perdana Menteri berkata ketiga-tiga aspek dalam transformasi tersebut amat bermakna kepada negara.

    "Insya-Allah jika diberi mandat, sedikit masa lagi perubahan dan transformasi yang lebih besar akan menjadi kenyataan untuk negara kita," katanya.

    --BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PU Sendayan bawa transformasi dalam tiga aspek - Najib "