• PRU14 : Tanggunggjawab Besar Buat Parti Kaum Cina

    Published: Sunday, 4 March 2018
    A- A+


    KUCHING – Keretakan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sehingga membawa kepada penubuhan Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada 2014 memberi tamparan hebat, apalagi ia berlaku ketika imejnya tercalar pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) apabila enam daripada tujuh kawasan yang ditandinginya ditewaskan pembangkang.

    Ringkasnya, daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak, SUPP kini hanya memiliki satu kerusi parlimen, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 15, Parti Rakyat Sarawak (PRS) lima, dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) empat, manakala di pihak pembangkang pula, DAP, memiliki lima dan PKR satu.

    Oleh itu, tidak syak lagi, SUPP perlu melakukan sesuatu pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang kini semakin hampir, untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai parti tertua di Sarawak dalam memikul tanggungjawab mewakili suara kaum Cina di sini, sekali gus membawa kemenangan lebih besar kepada Barisan Nasional (BN).

    Selain berhadapan dengan DAP, SUPP kini perlu meneroka laluan untuk bersatu hati dengan parti serpihannya, UPP, bagi merapatkan barisan dalam menghadapi cabaran mendatang, supaya jika ada kegagalan BN di kawasan majoriti kaum Cina nanti, ia tidak dirumuskan sebagai kesan ‘tikaman dari belakang’.

    Prof Madya Dr Jeniri Amir daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata jika tiada persefahaman antara mereka, kemungkinan (menjelang PRU14) kawasan majoriti pengundi Cina akan memberi impak negatif kepada BN dan secara tidak langsung menampakkan kegagalan BN menawan hati masyarakat Cina, terutama di kawasan bandar.

    “Diharapkan kedua-dua parti itu mengambil peduli semua nasihat yang diberikan, cari jalan penyelesaian supaya tidak berlaku situasi yang kalah akan kalah semua, yang menang akan menang semua, perlu ada situasi menang, menang antara dua parti, melangkah ke hadapan sahaja formula untuk menjamin kemenangan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

    Jika ‘status quo’ dikekalkan, tujuh kawasan parlimen majoriti kaum Cina yang akan dipertanggungjawabkan untuk ditandingi parti yang didominasi kaum itu ialah Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei, Miri dan Serian.

    Tindakan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Dr Wong Soon Koh keluar daripada SUPP untuk menubuhkan UPP benar-benar mengejutkan ramai, apa lagi ketika itu PRU13 baharu berakhir dan pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN11) pula baharu menjengah.

    Namun, kebijaksanaan dan kehebatan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri berjaya merungkai segala kekusutan, malah dilihat berjaya mengembalikan keyakinan kaum Cina kepada SUPP pada PRN-11.

    Demi menghormati prinsip kesepakatan dalam BN, UPP tidak diterima menyertai Barisan Nasional walaupun ia berstatus ’mesra BN’, namun Wong tetap dibenar bertanding di Bawang Assan dengan syarat beliau bertanding sebagai ‘calon langsung’, yakni calon tidak mewakili mana-mana parti.

    Formula itu dilihat memberi impak positif apabila SUPP bawah kepimpinan Datuk Dr Sim Kui Hian sebagai presiden berjaya membolot tujuh daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya, manakala DAP yang sebelum itu menduduki 12 kerusi Dewan Undangan Negeri, kini hanya tinggal tujuh.

    Ketika ini, tumpuan beralih kepada kebijaksanaan dan kewibawaan ketua menteri baharu, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi mencari ‘jalan penyelesaian’ paling sesuai dalam meneruskan momentum sokongan ramai kaum Cina kepada BN pada PRU14 pula.

    Jeniri berkata beliau percaya kemenangan kerusi majoriti Cina amat penting bagi mencerahkan harapan agar ada wakil masyarakat Cina dari Sarawak diberikan peluang untuk berada dalam barisan kabinet persekutuan.

    Katanya ketika ini beliau tidak nampak kemungkinan pembangkang akan dapat menambah kerusi di Sarawak kerana pada PRU13, pembangkang dilihat sudah berada pada tahap tepu.

    “Saya juga sangsi pihak pembangkang khususnya DAP, dapat menembusi kawasan luar bandar kerana ia adalah kubu kuat BN, tidak mungkin mereka dapat menumbangkan calon atau parti seperti PBB, PRS dan lain-lain parti komponen BN Sarawak.

    “Kemenangan besar BN di Sarawak bukan sahaja penting untuk usaha memperjuangkan hak autonomi Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi juga untuk memberi peluang kepada wakil rakyat daripada kaum Cina di Sarawak untuk berada dalam kabinet persekutuan seperti sebelum 2013,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14 : Tanggunggjawab Besar Buat Parti Kaum Cina "