• PRU14: 1,000 Anak Jati Kampung Buntal Nyatakan Sokongan Supaya Wan Junaidi Dicalonkan Semula

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Sokongan padu terus diberikan kepada Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk dicalonkan semula mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Terbaru, lebih 1,000 penduduk Kampung Buntal menyatakan sokongan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu pada Majlis Pecah Tanah Tapak Projek Struktur Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Buntal di sini, hari ini.

    Lebih menarik lagi, penduduk yang hadir turut membentang sepanduk yang tertulis 'Kami Penduduk Anak Jati Kampung Buntal Ingin Supaya Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar dicalonkan sebagai ahli parlimen kawasan kami untuk penggal datang ini'.


    Sementara itu, Wan Junaidi berkata, sejak memasuki kabinet persekutuan beliau sentiasa berusaha membawa pembangunan kepada Sarawak.

    "Apabila memegang jawatan menteri penuh, saya berusaha merealisasikan semua projek yang tertangguh," katanya.


    Mengulas mengenai Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Buntal, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, ia merupakan salah satu daripada projek baharu dengan peruntukan RM10 juta.

    "Kerja-kerja pembinaannya akan bermula Mac 2018 untuk disiapkan dalam tempoh 18 bulan iaitu September 2019," ujarnya.

    Tambahnya, pembinaan projek tersebut melibatkan struktur struktur lapis lindung batu sepanjang 1,085 meter di tiga lokasi yang dikenalpasti menghadapi masalah hakisan pantai yang kritikal.

    "Ini akan mampu mengatasi masalah ancaman hakisan terhadap harta benda awam di Kampung Buntal," jelasnya.

    Disamping itu menurutnya, laluan pejalan kaki sepanjang 198 meter turut dibina di Kampung Buntal untuk kemudahan penduduk setempat beriadah.

    "Ia sekaligus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat negeri ini menangani masalah berkaitan hakisan pantai yang mengancam keselamatan harta benda awam terutamanya disebabkan ombak besar," kata Wan Junaidi lagi.-Sarawakiana


  • No Comment to " PRU14: 1,000 Anak Jati Kampung Buntal Nyatakan Sokongan Supaya Wan Junaidi Dicalonkan Semula "