• Presiden Duterte Sokong Penutupan Pulau Boracay

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    SEBUT saja tentang Boracay di Filipina, tentu saja sesetengah pelibur dari Malaysia mengetahui tentang pulau peranginan itu yang semakin popular.

    Namun, kalau sudah popular dan dikunjungi ramai pelancong sedunia, masalah pencemaran alam sekitar boleh berlaku jika tiada langkah pengurusan dan kawalan yang baik dilakukan oleh pihak berkaitan.

    Dalam beberapa minggu ini sudah heboh dilaporkan tentang keputusan pemerintah negara berkenaan yang terpaksa menutup pulau itu untuk enam bulan akibat dari pencemaran yang berlaku di situ seperti yang dilaporkan media antarabangsa.

    Terbaru, Presiden Filipina Rodrigo Duterte juga bersetuju dengan cadangan oleh pegawai dari Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG), Eduardo Ano untuk menutup pulau itu bagi membaik pulih destinasi itu yang dikunjungi kira-kira 2 juta pelancong setiap tahun, lapor portal berita tempatan, Inquirer.

    “Apa jua keputusan yang pihak DILG ingin lakukan, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak tuan. Apa jua cadangan yang saya rasakan sesuai dan jika semuanya adalah bertepatan dengan piawaian yang ditetapkan, akan dilaksanakan,” kata Duterte.

    Terdahulu, Duterte telah mengisytiharkan pulau tersebut sebagai kawasan bencana dan mengarahkan Setiausaha Alam Sekitar, Roy Cimatu menutup pulau berkenaan kepada pelancong selama dua bulan bermula 1 Jun hingga 31 Julai tahun ini.

    Penduduk dan pengusaha di pulau terbabit juga digesa memberi kerjasama dengan membersihkan kawasan pulau.

    Susulan arahan, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli mengesahkan menemui bukti pelanggaran undang-undang alam sekitar antarabangsa di Pulau Boracay.

    Pasukan khas jabatan terbabit kini sedang mengenal pasti sama ada pembangunan di kawasan pulau terbabit menggunakan saluran pembetungan utama yang betul atau mempunyai kemudahan rawatan air kumbahan sendiri. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Presiden Duterte Sokong Penutupan Pulau Boracay "