• PPPMM, SKI Cari Jumlah Sebenar Warga Asing Di Malaysia

    Reporter: Anyin Ayeng
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) dengan kerjasama Sekretariat Khidmat Imigran (SKI), hari ini bekerjasama melaksanakan program gerak kerja kesedaran isu lambakan warga asing di negara ini.

     Menerusi perjanjian memorandum persefahaman (MoU) di antara PPPMM dan SKI, program itu dapat menyediakan pangkalan data serta rekod terperinci mengenai jumlah sebenar warga asing yang berada di negara ini.

     Pengerusi dan Pengasas SKI, Amir Pasirin, berkata menerusi kerjasama itu, pihaknya antara lain akan melaksanakan Program Bancian Warga Asing bagi menambah baik pangkalan data sedia ada sejak 2013.

     Katanya, pangkalan data yang diwujudkan sejak 2013 sehingga kini merekodkan warga asing di negara ini datang dari 44 negara, termasuk 15 negara sumber. 

    Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar warga asing masih menjadi tanda tanya dan belum ada yang tepat.

     "Kerjasama ini diharap dapat membolehkan kita mengumpul dan mengeluarkan angka tepat yang boleh diguna pakai atau menjadi sumber rujukan kepada kerajaan atau agensi lain berkaitan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

     Terdahulu, MoU kerjasama ditandatangani Amir yang mewakili SKI, manakala PPPMM diwakili Presidennya, A Rahman Mahadi sambil disaksikan Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohd Farid Uyop.

     Amir berkata, menerusi program itu juga, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan kepada warga asing berbentuk keperluan dasar kemanusiaan seperti membekalkan kad maklumat warga asing, khidmat perunding cara, skim pengurusan atau penghantaran jenazah dan kad prabayar visa.

     Sementara itu, A Rahman meminta orang ramai bekerjasama dalam membantu mereka menjayakan program berkenaan.

     "Kami mohon semua pihak tanpa mengira kaum, sedar dan bangkit memberi kerjasama dalam usaha mengatasi isu lambakan warga asing di negara ini," katanya.

    -BH

    Subjects:

  • No Comment to " PPPMM, SKI Cari Jumlah Sebenar Warga Asing Di Malaysia "