• Polis masih mengesan suspek utama khianat api

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes kebakaran sebuah rumah di Taman Cheras Prima yang didakwa berpunca daripada perbuatan khianat.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata antara individu yang diambil keterangan mereka adalah jiran kepada mangsa.

    "Setakat ini kita sudah rakam keterangan seramai enam hingga tujuh individu, termasuk jiran kepada mangsa.

    "Kita masih belum dapat mengenal pasti suspek utama, siasatan kini dijalankan daripada pelbagai sudut.

    "Mangsa, seorang pemilik sebuah restoran makanan laut yang tampil membuat laporan sudah menafikan sebarang pembabitan dengan kumpulan peminjam wang haram.

    "Motif setakat ini masih dalam siasatan, kita juga masih menunggu laporan autopsi daripada pihak bomba bagi mengenalpasti punca kebakaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pada 24 Februari lalu, tujuh sekeluarga dilaporkan nyaris maut selepas rumah teres dua tingkat yang mereka diami terbakar pada jam 1.50 pagi.

    Ketujuh-tujuh mangsa bertindak menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkat dua rumah mereka, dengan salah seorang daripada mereka, remaja berusia 13 tahun kemudian mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat terjun dari tingkat dua.

    Berapa jam kemudian, pemilik rumah berkenaan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mendakwa kejadian kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.

    Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pintu rumah terbabit dikunci dari luar dengan kunci mangga dan kenderaan milik mangsa jenis Nissan Frontier yang diletakkan di luar kawasan rumah diconteng tulisan dalam bahasa Cina meminta hutang dibayar menggunakan cat merah.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis masih mengesan suspek utama khianat api "