• Polis Gesa Netizen Henti Sebar Sebarang Spekulasi Kes Penemuan Kepala

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    Polis Sarawak menggesa netizen supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang spekulasi berkenaan kes penemuan kepala di tebingan sungai Batang Lupar Jalan Skait Sri Aman Sabtu lalu.

    Ketua Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, amaran tegas diberikan kepada netizen agar tidak membuat sebarang kenyataan palsu mengenai kes tersebut.


    Menurutnya, ia akan menganggu proses siasatan yang dijalankan oleh pihak polis bagi menyelesaikan kes tersebut yang telahpun diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

    “Saya merasa kesal kerana ada diantara netizen yang menyebarkan cerita berkaitan kes berkenaan mengenai pembunuh wanita tersebut dengan mengaitkan ia adalah sumber daripada pihak polis.

    “Kes kini masih dalam siasatan dan kami (polis) tidak akan dedahkan segala maklumat siasatan yang sulit terutamanya di akaun facebook,” katanya ketika dihubungi untuk mengulas berkenaan kenyataan di beberapa akaun Facebook yang berkaitan dengan siasatan polis berkenaan kes tersebut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Othman Sulaiman ketika dihubungi turut menasihatkan para netizen supaya berhenti menyebarkan kenyataan-kenyataan yang tidak pasti kesahihannya itu.

    Jelas beliau setiap kenyataan tular mengenai kes berkenaan adalah mengelirukan dan tidak benar.

    Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai agar tidak menambahkan lagi kekeliruan dengan menyebar berita palsu sebelum tindakan diambil terhadap individu-individu yang sengaja membuat kenyataan palsu berhubung kes tersebut.-Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Gesa Netizen Henti Sebar Sebarang Spekulasi Kes Penemuan Kepala "