• Polis buru bekas banduan terlibat kes samun wang tunai RM2,000

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+


    TAPAH - Polis sedang memburu seorang daripada lima bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan selama dua jam dari Penjara Tapah dekat sini selepas dipercayai terlibat dalam kes samun seorang lelaki di pejabat MCA Batang Padang di sini awal bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, lima lelaki dipercayai telah menyamun wang tunai berjumlah RM2,000, telefon bimbit dan sebuah kereta milik Setiausaha MCA daerah Batang Padang pada 2 Mac lalu.

    Jelasnya, dalam kejadian tersebut, kesemua suspek telah mengikat tangan dan kaki dengan menggunakan wayar kabel komputer sebelum membawa lari kereta jenis Proton Persona milik lelaki tersebut.

    “Hasil siasatan, polis berjaya memberkas empat lelaki berusia dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun di rumah masing-masing dalam serbuan berasingan di sekitar Ipoh pada 8 dan 10 Mac lalu.

    “Bagaimanapun, polis masih menjejaki seorang lelaki suspek, K. Baskaran berusia 51 tahun yang masih bebas untuk membantu siasatan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini sebentar tadi.

    Menurut Som Sak, sewaktu kejadian berlaku, kelima-lima suspek yang sebelum ini dipenjarakan atas kesalahan dadah selama enam hingga lapan bulan telah dibebaskan dan pihak penjara meninggalkan mereka di Terminal Bas Tapah.

    Ujarnya, mereka dipercayai bertindak menyamun Setiausaha MCA daerah Batang Padang di pejabatnya yang terletak di hadapan terminal bas tersebut sebelum membawa lari kereta lelaki itu.

    “Hasil siasatan mendapati, mereka memerlukan wang selepas dibebaskan dari penjara. Sewaktu tangkapan dilakukan, kesemua wang samun bernilai RM2,000 itu sudah habis digunakan oleh mereka,” katanya.

    Menurut Som Sak, polis meminta orang ramai membantu menyalurkan maklumat mengenai seorang lagi suspek iaitu K. Baskaran yang berasal dari Kampung Kacang Putih, Buntong dekat Ipoh untuk membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terlibat kes samun secara berkumpulan. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Polis buru bekas banduan terlibat kes samun wang tunai RM2,000 "