• Polis Bukan Pak Turut – PM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menjadi pak turut kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

    Najib berkata, beliau amat kesal dengan tuduhan melulu yang dilemparkan kepada pasukan keselamatan itu dan dilihat sebagai cubaan untuk melahirkan persepsi negatif terhadap PDRM.

    Malah katanya, baru-baru ini pula terdapat seorang bekas pemimpin negara cuba me­ngaitkan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dengan pihak polis.

    “Saya kesal dengan tuduhan melulu dibuat untuk lahirkan persepsi serong terhadap PDRM apabila ada yang menuduh polis sebagai pak turut kerajaan, makan gaji buta dan kadar jenayah meningkat.

    “Ini semua tuduhan yang tidak berasas kepada pihak polis malah ada bekas pemimpin berusia 93 tahun mendakwa polis pula bersalah dan bertanggungjawab kerana mendorong beliau pecat Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam ucapan sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 Tahun 2018, di sini hari ini.

    Sebelum ini, Pengerusi Pakat­an Harapan diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad menu­duh polis yang mendorong dia sebagai Perdana Menteri untuk memecat timbalannya, Anwar atas kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.

    Dalam pada itu, Najib turut membidas hasrat anak kepada Dr. Mahathir yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz yang mahu memecat kesemua pegawai tinggi dalam kerajaan sekiranya Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Ia berlainan dengan kerajaan kita yang sentiasa menghargai sumbangan anggota PDRM dan saya ingin nyatakan kepenti­ngan serta kebajikan PDRM akan terus diperjuangkan oleh kerajaan sedia ada,” katanya.

    Najib menambah, jumlah anggota polis yang kini mence­cah 130,401 orang akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan PDRM kerana soal menjaga keselamatan dan me­merangi keganasan me­rupakan agenda utama kerajaan.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Bukan Pak Turut – PM "