• Polis Akan Panggil Guan Eng Bantu Siasatan Kes Video

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+

    GEORGE TOWN – Polis akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang untuk merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan berhubung satu video yang tersebar menunjukkan Lim Guan Eng menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan dalam satu program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong, dekat sini Sabtu lepas.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata pihaknya akan memanggil Lim dalam masa terdekat dan beberapa individu lain termasuk mereka yang membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

    “Memang menjadi prosedur polis untuk merekodkan keterangan mereka terlibat termasuk Ketua Menteri (Lim) yang didakwa sebagai individu dalam video berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

    “Kami akan panggil beliau (Lim) dalam masa terdekat dan polis juga akan memohon laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun laman sosial yang menyebarkan video tersebut bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Katanya setakat ini, tiga individu telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan dan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

    Thaiveegan berkata polis juga menerima empat laporan polis daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik yang tidak berpuas hati berhubung video berkenaan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak pihak yang akan tampil membuat laporan dalam masa terdekat.

    “Selepas kertas siasatan kes itu siap, kami akan rujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Kes itu disiasat menurut Seksyen 233 SKMM,” katanya.

    Sabtu lepas, Lim dalam satu video berdurasi 32 saat itu didapati mengajar sekumpulan kanak-kanak menyanyi mengikut rentak lagu mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) seolah-olah ia memberi kesan buruk kepada rakyat, ketika merasmikan Program Tuisyen Rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri.

    Ia kemudian mendapat perhatian ramai pihak termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) selepas video berkenaan tular di laman media sosial Facebook. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Akan Panggil Guan Eng Bantu Siasatan Kes Video "