• Petugas PDK bakal nikmati kenaikan elaun

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+


    BALING: Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan kenaikan elaun sagu hati bulanan petugas dan penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif dan Komuniti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Rozita Ibrahim, berkata kenaikan elaun itu dijangka dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

    Katanya, perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaakub ketika merasmikan program Semarak Kasih Kebajikan peringkat negeri di Changlun, bulan lalu.

    "Kita belum tahu jumlah kenaikan itu dan JKM sedang menyediakan maklumat lengkap mengenai perkara itu.

    "JKM sedar yang kenaikan elaun ini memerlukan satu peruntukan besar dan kita menyambut baik cadangan berkenaan," katanya ketika ditemui di upacara penutup program Kembara Kebajikan JKM 1 Malaysia 2018 peringkat daerah Baling di PDK Seri Bakai Kampung Banggol Berangan di Kuala Ketil, dekat sini, semalam.

    Ia disempurnakan oleh Penyelaras BN kawasan DUN Kuala Ketil, Datuk Mohd Khairul Azhar Abdullah. Turut hadir, Pegawai JKM daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak.

    Program dua hari mulai Selasa lalu memberi tumpuan acara lawatan ke setiap PDK, menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin, khidmat kesihatan dan sukaneka membabitkan pelatih PDK.

    Rozita berkata, ketika ini, elaun bulanan yang diterima petugas PDK ialah RM800 sebulan manakala elaun untuk penyelia RM1,200 sebulan yang disediakan Kerajaan Pusat.

    Sementara itu, Khairul Azhar berkata, bagi meringankan beban pengurusan PDK di kawasan DUN Kuala Ketil, pihaknya sentiasa menghulurkan bantuan seperti membaiki kerosakan pada bangunan PDK, membantu pelatih mendapatkan lesen motosikal dan memberi sumbangan kerusi roda untuk pelatih yang tidak boleh berjalan.
    -BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Petugas PDK bakal nikmati kenaikan elaun "