• Petros Perlu Kukuh, Berkesan Dan Cekap - KM Sarawak

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+
    Foto BERNAMA 


    KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahukan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) yang kukuh, berkesan dan cekap dalam melaksanakan peranan yang diamanahkannya dalam industri minyak dan gas (OG).

    Beliau berkata bagi merealisasikannya, penubuhan pihak berkuas pengawal selia dan pemantauan oleh kerajaan negeri ke atas Petros adalah mandatori.

    "Justeru, Petros mesti membangunkan kehadirannya yang strategik di Sarawak untuk berkembang dan menyampaikan manfaat ekonomi secara mampan menerusi model perniagaannya, dan pada masa yang sama melindungi kepentingan kerajaan negeri dan sumbernya," katanya ketika melancarkan syarikat minyak milik kerajaan negeri itu di sini malam tadi.

    Abang Johari juga mengumumkan bahawa Sarawak akan mengambil alih sepenuhnya pengawal seliaan dalam aspek huluan serta hiliran dalam industri minyak dan gas.

    Beliau berkata Sarawak akan mengeksploitasi sumber semula jadi minyak dan gas seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan mengikut Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

    Penurunan kuasa itu adalah selaras dengan perjanjian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengembalikan kuasa-kuasa yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sarawak, yang secara tidak sengaja terhakis sejak bertahun-tahun, katanya,

    Abang Johari berkata bagi memastikan Petros melaksanakan peranan yang diamanahkan kepadanya secara berhemah, syarikat itu perlu mendapatkan bimbingan daripada kerajaan negeri untuk hala tuju dasar dalam pelaksanaan peranan dan tanggungjawab strategiknya.

    "Menerusi sokongan berterusan rakyat kepada Barisan Nasional, lebih banyak kemajuan akan dibuat bagi memenuhi aspirasi rakyat Sarawak dalam mencapai tahap pembangunan yang selari dengan negeri-negeri yang lebih maju di Semenanjung.

    "Hasil yang lebih banyak daripada minyak, gas dan sumber mineral lain akan dapat membiayai agenda pembangunan serta inisiatif yang dilancarkan oleh saya untuk ekonomi digital Sarawak, " katanya.

    Beliau juga mengulangi mengenai pentingnya semua rakyat Malaysia bekerjasama dalam menangani cabaran yang sama dan berusaha untuk membolehkan Sarawak mendapat manfaat daripada inisiatif pengurusan sumber semula jadi yang terhad.

    Pelancaran Petros, katanya, menandakan satu lagi kejayaan dalam OG negeri dan untuk Sarawak, semata-mata disebabkan ia mempunyai sumber baharu untuk membolehkannya meningkatkan model pengurusan sumber negeri.

    "Kabinet negeri dan saya sangat gembira kerana kami mengambil tindakan berani dalam usaha untuk mengubah ekonomi dan melonjakkannya ke tahap yang lebih tinggi. Justeri, pelancaran ini merupakan majlis penting bukan hanya untuk Sarawak, bahkan juga untuk Malaysia," katanya.

    Pada majlis itu, Abang Johari juga mengumumkan pelantikan Saau Kakok sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Petros. Beliau mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam industri minyak dan gas.

    Jawatan terakhirnya ialah sebagai Naib Presiden bagi Asia di syarikat minyak bebas yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

    "Petros bernasib baik mendapatkan pengalaman, bakat dan visi Saau. Saya yakin beliau merupakan ketua yang tepat untuk memimpin syarikat pada masa depan, sambil menambah, nilai kerjaya orang muda berbakat Sarawak itu akan menjadikan Petros sebagai tempat terbaik untuk bekerja," kata Abang Johari.

    Beliau berkata Sarawak mempunyai bakat yang baik dengan pengalaman dan kepakaran dalam industri OG dan penglibatan mereka akan dipertingkatkan lagi melalui penyertaan dalam kontrak dan pembekalan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Petros.

    Beliau juga berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan garis panduan kepada Petros untuk memastikan penyertaan yang lebih besar dan lebih bermakna oleh syarikat Sarawak itu dalam sektor terbabit.

    “Sejak 1975, Gas Asli Cecair dari Sarawak dieksport oleh Petronas dan hasil yang diperoleh, menyumbang kepada ekonomi negara dan pembangunan Persekutuan.

    "Dengan menjalankan hak perlembagaan kita, kerajaan negeri memenuhi aspirasi rakyat Sarawak bahawa hasil tambahan dariapda minyak dan gas, mempercepat pembangunan perindustrian dan kemajuan ekonomi, untuk membolehkan Malaysia pada keseluruhannya mencapai pendapatan ekonomi yang tinggi menjelang 2030," kata Abang Johari.

    Beliau berkata kerajaan negeri mahu melihat Petros bekerja bersama Petronas dalam kedua-dua sektor huluan dan hiliran dalam industri OG.

    "Kedua-dua syarikat ini boleh memberi sumbangan besar kepada kemajuan industri di Malaysia dan kemajuan ekonomi dan kemakmuran negara," katanya.-BERNAMA
  • No Comment to " Petros Perlu Kukuh, Berkesan Dan Cekap - KM Sarawak "