• Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke UK Selar The Economist

    Published: Friday, 16 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Ahmad Rasidi Hazizi menyelar majalah The Economist di London kerana menyiarkan artikel mengenai Malaysia yang disifatkan mengandungi kesilapan serius selain memperkecilkan Perdana Menteri dan kerajaan.

    Dalam kenyataan menerusi 'Surat Kepada Pengarang', Ahmad Rasidi berkata, artikel terbaru mengenai Malaysia iaitu 'Berhenti, Pencuri' bertarikh 10 Mac, hanyalah reaksi pemikiran kolonial yang sombong selain merendahkan kemampuan pihak berkuasa, badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), media dan pengundi di negara ini.

    "Sebagai contoh, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) tidak pernah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 'menyalurkan keluar' dana, dan tidak pernah menyatakan bahawa dana itu adalah 'hadiah daripada peminat yang tidak dinamakan'.

    "Malah, Perdana Menteri dan beberapa pegawai sebelum ini menyatakan bahawa dana yang sebahagian besarnya sudah dikembalikan itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

    "Perkara itu sudah disahkan oleh Menteri Luar Arab Saudi, yang secara umum menyatakan bahawa dana itu 'sumbangan dengan tanpa apa-apa yang diharapkan sebagai balasan' dan pihak berkuasa negara terbabit turut mempertimbangkan perkara itu ditutup," katanya.

    Menurut Ahmad Rasidi lagi, artikel berkenaan yang mempertikaikan persempadanan semula kawasan pilihan raya ekoran pertumbuhan penduduk dan menganggap "menipu sistem" jelas menunjukkan sikap "double standard" negara Barat dan seluruh dunia.

    Katanya, dakwaan The Economist itu seolah-olah membayangkan bahawa banyak negara yang mengamalkan demokrasi adalah salah, termasuk Britain yang dijangka melakukan perubahan kawasan penting sebelum pilihan raya akan datang.

    Ahmad Rasidi berkata, di Malaysia, perubahan kawasan itu dicadangkan dan dilaksanakan oleh SPR secara bebas dan kemudiannya diluluskan oleh badan perundangan.

    Katanya, sejak Najib alih jawatan pada tahun 2009, pendapatan negara kasar Malaysia meningkat lebih daripada 50 peratus, manakala lebih 2.3 juta pekerjaan diwujudkan.

    Selain itu, katanya, kadar pengangguran dan inflasi terus rendah dan kadar kemiskinan juga sudah berkurangan dengan ketara.

    "Memang tidak dinafikan, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang cepat dan ia terbukti apabila Bank Dunia terpaksa menaikkan anggarannya untuk pertumbuhan negara sebanyak tiga kali pada tahun 2017, kepada 5.8 peratus.

    "Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa pelan kerajaan untuk kesejahteraan ekonomi dan keselamatan rakyat di Malaysia sudah dilaksanakan.

    "Inilah kisah sebenar Malaysia. Artikel anda (The Economist) nampaknya berasaskan kepalsuan semata-mata yang ditekan oleh parti pembangkang dan penyokong mereka untuk mendapatkan keuntungan politik menjelang pilihan raya akan datang," katanya.-BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke UK Selar The Economist "